Cubaan dua lelaki seludup 1.35 tan duan ketum ke Johor gagal
ALOR SETAR, 31 Mei – Cubaan dua lelaki menyeludup daun ketum seberat 1.35 tan ke Johor Bharu gagal apabila mereka ditahan dalam satu operasi di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berdekatan hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Supt Mohd Mahiri Hussin berkata kedua-dua suspek berumur 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam semasa sekatan jalan raya Op Bersepadu Luaran dijalankan.
Katanya semasa operasi, pegawai dan anggota dari Polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara 1 telah menahan sebuah lori yang dinaiki dua lelaki di R&R Gurun dalam keadaan mencurigakan dan membuat pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek.
“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori telah menjumpai 135 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun hijau yang dipercayai ketum. Setiap satu bungkusan plastik itu adalah seberat 10 kilogram dan anggaran keseluruhan berat bungkusan 1.35 tan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata kedua-dua suspek yang berasal dari Johor Bahru itu dipercayai mengambil daun ketum berkenaan di Pokok Sena untuk dihantar ke Kluang dan Johor Bahru.
“Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Mahiri berkata operasi yang bermula pukul 9 malam itu melibatkan sembilan pegawai dan 56 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PLUS Malaysia Bhd (PLUS).
“Pihak polis mengeluarkan 52 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan jalan raya manakala JPJ mengeluarkan 24 saman atas pelbagai kesalahan temasuk membawa lebih muatan, membawa muatan berbahaya dan lesen tamat tempoh.
“AADK pula melakukan saringan air kencing terhadap 33 individu dengan enam daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan heroin,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.