Cubaan 30 PATI menyusup ‘laluan tikus’ gagal

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KUALA LINGGI 5 November – Cubaan sebuah bot yang membawa 30 pendatang tanpa izin (PATI) untuk menyeludup keluar ke negara jiran secara haram gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) awal pagi semalam.

Kesemua PATI yang terdiri daripada 26 lelaki dan empat wanita berusia 21 hingga 63 tahun ditahan pada kedudukan 9.6 batu nautika Barat Daya Port Dickson kira-kira jam 12.40 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata sebelum penahanan, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) mengesan satu objek mencurigakan dari laluan Skim Pemisah Trafik (TSS) menghala ke Tanjung Rhu, Sepang lebih kurang pukul 10.00 malam kelmarin.

Katanya, bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan Op Murni/ Op Tiris Fasa 2.0 diatur gerak ke lokasi dan berjaya mengesan bot terbabit.

“Ketika cuba memintas, bot suspek bertindak memecut melarikan diri dan berlaku insiden kejar-mengejar.

“Ketika indisen itu, tekong bot terbabit bertindak agresif sehingga berlaku pertembungan antara bot Maritim Malaysia dan bot suspek menngajibatkan bot suspek terbalik dan tenggelam manakala kesemua PATI terjatuh ke dalam air.

“Mereka yang tidak memakai jaket keselamatan diselamatkan bot ronda Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksanaan lanjut mendapati seorang daripada 30 PATI adalah warga Myanmar manakala selebihnya ada warga Indonesia.

“Kesemua mereka gagal mempamerkan dokumen perjalanan sah dan dibawa ke Jeti Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Sindiket ini dipercayai mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan faktor keselamatan penumpang,” katanya.

Iskandar berkata Maritim Malaysia sentiasa memantau dan tegas dalam menyekat kemasukan PATI melalui lorong-lorong tikus di perairan negara dan percaya kegiatan ini didalangi oleh ejen dari luar dan dalam negara sendiri.

Jelasnya, bagi membanteras kegiatan seumpama itu, orang ramai diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku di laut ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1639
Kongsi :
Previous post Salur sumbangan kepada Palestin menerusi dua tabung dilancar kerajaan
Next post Berpersatuan elak wanita jadi mangsa ‘love scam’
Ubah saiz-+=