Cuba naikkan caj perkhidmatan, 3 syarikat pengangkutan di Melaka bakal didakwa

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PENGKALAN BATU 16 Jun – Tiga syarikat pengangkutan di negeri ini bakal didakwa di mahkamah kerana dipercayai cuba menaikkan caj perkhidmatan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norena Jaafar berkata, tindakan syarikat itu dikesan pihaknya dalam Op Kesan 2.0 yang dimulakan sejak 6 Jun lalu.

“Dalam pemeriksaan terhadap syarikat berkenaan sekitar daerah Melaka Tengah oleh pasukan penguatkuasa dipercayai ada berlakunya kenaikan harga.

“Hasil pemeriksaan lanjut dilakukan turut mendapati kesemua syarikat ini adalah pemegang ‘fleet card’ selain kita kini sedang menyiapkan kertas siasatan untuk pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan keberadaan barangan keperluan asas sempena Hari Raya Aidiladha di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan.

Menurut Norena, tindakan ke atas syarikat itu dibuat mengikut Seksyen 21 (5) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Terdahulu ketiga-tiga syarikat itu diberi tempoh enam hari untuk memberi tunjuk sebab sebelum mereka meminta tambahan lima hari namun tiada sebarang maklum balas diterima KPDN selepas tempoh tamat.

“Malah kita difahamkan juga KPDN Melaka adalah negeri pertama yang menghasilkan kes dalam Op Kesan 2.0 ini.

“Sejak dilaksanakan, Op Kesan 2.0 ini KPDN Melaka sudah menjalankan 41 pemeriksaan keatas penerima manfaat Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0),” katanya.

Jelasnya, orang ramai yang ada sebarang aduan atau maklumat mengenai kenaikan harga barang di bawah SKDS boleh menghubungi talian 012-6654292.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

547
Kongsi :
Previous post Penunggang maut dalam nahas 4 kenderaan di Jalan Hutan Simpan
Next post ‘Pelantikan ini satu penghormatan’ – Fan Bingbing
Ubah saiz-+=