Sorting by

×

Cuaca panas jejas pesawah, petani

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

KLEBANG 2 Jun – Fenomena cuaca panas berpanjangan yang melanda ketika ini nyata membimbangkan petani dan pesawah apabila aktiviti pertanian mereka tergendala susulan kekurangan sumber air.

Keadaan itu dikatakan berpunca daripada taburan hujan rendah dan menyebabkan bekalan air untuk kegunaan petani dan pesawah tidak mencukupi.

Pesawah Mohamad Shakirin Mohd Zan, 37, ekoran daripada cuaca panas aktiviti penanaman padi yang sepatutnya dijadualkan dua bulan lepas kini tertangguh disebabkan kerja membajak tidak dapat dijalankan.

“Sepatutnya kerja membajak dan tanaman padi baharu dilakukan pada April tetapi kini sudah tertangguh dua bulan disebabkan tiada bekalan air meskipun ada hujan pada malam hari tetapi taburan air hujan tidak mencukupi.

“Boleh dikatakan pesawah di kawasan Kampung Pinang, terjejas kerana tidak dapat membajak meskipun di sini ada punca air tetapi ia tidak dapat memenuhi keperluan kesemua pesawah di kawasan ini.

“Apabila punca air tidak mencukupi aktiviti membajak tidak dapat dilakukan kerana keadaan tanah kental dan pertumbuhan padi tidak sekata malah kekurangan air juga menyebabkan musuh tanaman seperti tikus akan banyak,” katanya.

Dia yang sudah 10 tahun menjadi pesawah berkata, disebabkan cuaca panas itu juga jadual tanaman padi pada musim depan juga akan berubah, di mana pesawah akan sekali lagi berdepan cuaca kering.

“Jika aktiviti membajak dapat dijalankan seperti biasa, anggaran usia padi kini sudah sebulan hingga sebulan setengah tetapi kini kerja tanaman tertangguh. Bila berlaku sebegini ia bukan sahaja tertangguh untuk musim ini tetapi juga musim depan.

“Kita sepatutnya akan dapat menuai sekitar September, tetapi sudah tertangguh jadi musim depan jadual tanaman pun akan lewat serta berdepan dengan cuaca kering kontang pada Mac depan dan ini akan menjejaskan hasil,” katanya yang mengusahakan lebih lapan hektar sawah.

IMG_20230603_153426_609
Pesawah, Musa Arib, 63 menunjukkan tanah pertanian mereka mengalami kekurangan sumber air ketika tinjauan di Kampung Pinang, Batang Tiga, Melaka. Foto: MR. AZLI

Bagi seorang lagi pesawah Musa Arib, 65, berkata, dia bersama rakan yang lain kini tidak henti berdoa agar cuaca hujan bagi membantu mereka mendapatkan bekalan air untuk kerja membajak.

“Seperti saya terpaksa mengeluarkan belanja tambahan bagi membeli tong air untuk mengisi dan memenuhkan petak sawah.

“Jadi besar harapan saya jika penyelesaian dapat diambil, saya minta kalau boleh sebagai langkah alternatif binakan longkang kira-kira 1.2 kilometer untuk kami salurkan air bagi untuk sawah,” katanya.

Sementara itu, Sardi Mahorm, 53, yang mengusahakan tanaman cili padi berkata, meskipun dia tidak begitu terkesan dengan bekalan sumber air kerana menggunakan kaedah fertigasi tetapi cuaca panas memberi kesan kepada kualiti cili dihasilkan.

“Apabila menggunakan sistem fertigasi ini jadi punca air tidak terkesan tetapi apa yang membimbangkan adalah kualiti dan kuantiti tanaman terjejas malah kesuburan tanaman juga terganggu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2208
Kongsi :
Previous post PM seru tingkat usaha naik taraf, indahkan medan selera dan warung
Next post Kekurangan tenaga kerja risaukan pekebun kecil
Ubah saiz-+=