Cuaca panas: Caj elektrik masih berdasarkan jumlah penggunaan, bukan nilai rumah
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Biarpun berlaku peningkatan penggunaan elektrik disebabkan cuaca panas yang dialami negara ketika ini, caj penggunaan elektrik masih dikenakan berdasarkan jumlah penggunaan bulanan dan bukannya nilai rumah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata ketika ini kos bahan api di peringkat global masih pada paras tinggi dan ini menyebabkan peningkatan kos penjanaan elektrik dilepaskan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung di bawah mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).
“Sungguhpun demikian, kerajaan telah memperuntukkan subsidi elektrik berjumlah RM1.064 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2024 kepada semua pengguna domestik iaitu kira-kira 8.1 juta pengguna yang menggunakan elektrik 1500 kWj dan ke bawah setiap bulan agar mereka tidak dikenakan sebarang surcaj bagi tempoh tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.
Sebelum ini dalam sesi perbahasan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mencadangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari Januari ke Mac ini susulan fenomena cuaca panas yang dialami negara.
Rebat itu dicadang hanya diberikan kepada rumah yang bernilai RM300,000 ke bawah bagi penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi mereka.
Fadillah berkata kementeriannya juga masih melaksanakan Program Rebat Bil Elektrik RM40 bagi ketua isi rumah (KIR) dalam kategori miskin tegar yang disahkan dalam Sistem e-Kasih, dan bagi tujuan itu kementeriannya menerima peruntukan RM55 juta bagi manfaat lebih 160,000 KIR miskin tegar seluruh negara.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.