CSI ‘buka jalan’ bekas banduan bina kehidupan
MASJID TANAH 18 Februari – Statistik kemasukan ke penjara bagi banduan melakukan kesalahan berulang membabitkan mereka mengikuti sistem parol direkodkan amat rendah berbanding individu dibebaskan terus selepas selesai menjalani hukuman.
Pengarah Jabatan Penjara Negeri Melaka, Timbalan Komisioner Penjara Roslan Mohamed berkata, berbanding banduan menjalani hukuman sepenuhnya di penjara, Orang Diparol (ODP) bukan sahaja lebih dekat dengan masyarakat sebaliknya mempunyai hala tuju kehidupan selepas dibebaskan.
Roslan berkata menerusi Latihan Pintar Korporat (CSI) iaitu inisiatif bagi menempatkan ODP, Orang Bebas Berlesen (OBB), Penghuni Bebas Berlesen (PBL) dan Orang Diselia (ODS), individu berkenaan berpeluang menjalani kehidupan dan bergaul dengan masyarakat selain mula membina kerjaya.
“Berdasarkan statistik sistem ini amat positif. Mereka menjalani separuh daripada hukuman di luar penjara kurang cenderung mengulangi kesilapan lampau. Kebarangkalian mereka kembali amat rendah.
“Ini kerana mereka mereka sudah ada hala tuju dalam hidup, ODP ini berpeluang bergaul dengan masyarakat, ada kerjaya dan pendapatan sebelum selesai hukuman. Selepas bebas sepenuhnya mereka tahu apa boleh dilakukan untuk bina hidup baharu.
“Setakat ini ada kira-kira 67 ODP termasuk PBL sedang menjalani CSI di lebih 20 syarikat seluruh Negeri Melaka,” katanya ketika ditemui pada Program Intervensi Orang Diparol (ODP), Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Penghuni Bebas Berlesen (PBL) Sekolah Henry Gurney Bersama Pengarah Penjara Melaka Dengan Komuniti JPKK Kampung Seri Tanjung, di sini, semalam.
Menurut Roslan berbanding sebelum ini masyarakat sekarang juga lebih terbuka menerima kehadiran banduan disekeliling mereka.
“Masyarakat tidak lagi pandang serong atau sisihkan golongan ini. Menerusi program bersama masyarakat dan CSI dijalankan kita kenalkan ODP kepada masyarakat supaya mereka tidak keliru atau kekok untuk bergaul apabila dibebaskan kelak.
“Saya lihat sejak kebelakangan ini rakyat Malaysia sudah buka mata kerana boleh dikatakan setiap kali kita anjurkan program penerimaan adalah amat positif.
“Lebih membanggakan masyarakat turut sama memberi sokongan kepada ODP ini untuk memulakan kehidupan baharu dengan meninggalkan apa yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.