‘Cruise’ mewah mulakan pelayaran ke Melaka, November depan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 20 Ogos – Pemilihan Melaka sebagai lokasi persinggahan bagi pelayaran kapal persiaran mewah, Genting Dream Cruises mampu memberikan pengalaman baharu kepada pelancong antarabangsa.

Presiden Resort World Cruises, Michael Goh berkata, perkara itu dapat menggabungkan pengalaman pelancongan mewah sambil panorama indah Selat Melaka dan pesona Bandar Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Katanya, pelancong dapat menikmati kesemua keindahan itu menerusi pakej ‘2 Night Cruises’ dengan menjadikan pakej pelayaran ekslusif Singapura ke Melaka bermula 10 November 2024.

“Resort World Cruises memilih Melaka sebagai tanda menyokong Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) seterusnya memperkukuhkan kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancong asing.

“Menerusi pakej ‘2 Night Cruises’, kapal persiaran mewah ini akan berlepas dari Singapura pada setiap hari Ahad merentasi Selat Melaka sebelum tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka untuk berlabuh selama 12 jam.

“Seterusnya, ia membolehkan penumpang menerokai pengalaman sebenar keindahan, keunikan dan sejarah ketamadunan Negeri Melaka,” katanya pada sidang media berkaitan kapal persiaran yang menjadi produk pelancongan baharu Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Michael Goh berkata, di Melaka penumpang kapal persiaran mewah boleh menerokai bangunan bersejarah serta menikmati keunikan yang terdapat di sepanjang Sungai Melaka.

“Penumpang juga boleh merasai hidangan tempatan yang terkenal seperti asam pedas, nasi bebola ayam, cendol durian, onde-onde, laksa nyonya Melaka, dodol dan pelbagai kuih-muih tradisional di restoran tempatan yang popular,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

114
Kongsi :
Previous post Muhammad Zulfakar raih perak, tewas di tangan adik ‘Jojo’
Next post Melaka promosi TMM2024 di SUKMA Sarawak
Ubah saiz-+=