CPF Melaka rekod RM8,240 nilai rampasan produk Ivermectin – Rahmad

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 4 Okt. – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) merekodkan sejumlah RM8,240 nilai rampasan penjualan produk tidak berdaftar Ivermectin setakat 10 September lalu.

Exco Kesihatan Datuk Rahmad Mariman berkata, ia membabitkan tujuh serbuan yang dilakukan ke atas penjualan produk itu yang tidak berdaftar melibatkan premis klinik, farmasi dan penjualan atas talian.

“CPF sentiasa pantau aktiviti pengiklanan dan penjualan produk tidak berdaftar di negeri ini, produk Ivermectin ini dijual dalam pasaran termasuk di media sosial dan dalam talian seperti di platform e-dagang.

“Penjualan produk tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) satu pelanggaran di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984.

“Individu didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Dan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua dan berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menasihatian orang awam agar tidak terpedaya dengan individu yang menjual Ivermectin sebagai rawatan atau pencegahan COVID-19 termasuk secara dalam talian.

“Produk yang dijual secara dalam talian ini berkemungkinan besar produk palsu atau produk yang didaftarkan untuk kegunaan haiwan.

“Penggunaan Ivermectin tanpa pemantauan daripada anggota profesional kesihatan berisiko menyebabkan masalah kesihatan seperti pening, alahan, sawan, koma dan boleh membawa maut,” katanya.

Katanya lagi pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut.

“Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan ‘Product Status’ atau hubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1-800-88-6722.

“Selain itu, orang ramai boleh muat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppsGalery bagi tujuan semakan tersebut.”katanya.

Orang awam disaran melaporkan sebarang penjualan Ivermectin di laman e-dagang atau media sosial kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM melalui portal http://pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

Selain menghubungi terus Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Melaka di talian 06-2356999/ 013-6699219 (hotline) agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk Ivermectin tidak berdaftar di pasaran.

Untuk rekod Ivermectin ialah sejenis ubat antiparasit yang digunakan untuk merawat jangkitan parasit tropikal seperti onchocerciasis, strongyloidiasis and helminthiases.

Di Malaysia, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM telah memaklumkan bahawa Ivermectin didaftarkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebagai antiparasit dan hanya digunakan kepada haiwan.

Sehingga kini tiada produk Ivermectin yang diluluskan pendaftarannya untuk kegunaan manusia atau untuk rawatan dan pencegahan COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

726
Kongsi :
Previous post (Update) 4 ADUN PN dakwa hilang kepercayaan terhadap KM
Next post Tanah mendap bimbangkan jemaah masjid
Ubah saiz-+=