COVID: Malaysia ambil langkah cermat sebelum isytihar endemik – Khairy
KUALA LUMPUR, 11 Feb – Malaysia mengambil langkah cermat sebelum mengambil keputusan mengisytihar pandemik COVID-19 sebagai endemik di negara ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata ia termasuk memastikan kes COVID-19 di Malaysia, terutama melibatkan kemasukan ke hospital ketika ini tidak terus meningkat secara mendadak.
“Kita sedang memantau negara lain seperti Sweden dan Denmark… pada pandangan saya, mungkin mereka terlalu awal isytihar pandemik COVID-19 tamat kerana seperti di Denmark, mereka isytihar COVID-19 bukan satu ancaman kepada kesihatan awam tetapi kes hospitalisation meningkat dengan mendadak.
“Sebab itu saya dan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Noor Hisham Abdullah) pilih kita lebih berhati-hati… ada yang kata pendekatan kita konservatif dan ada kata terlalu konservaif, tetapi bagi kami, lebih baik bergerak dengan selamat daripada menyesal kemudian nanti,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program Mass Urology Surgery Initiative di Hospital Selayang hari ini.
Jelasnya sekiranya dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini gelombang Omicron kurang memberi kesan kepada peningkatan kemasukan pesakit ke hospital dengan kebanyakan kes menunjukkan gejala ringan, mungkin kerajaan lebih yakin untuk beralih ke fasa endemik.
Terdahulu dalam ucapannya, Khairy berkata walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) tidak panik dengan penularan Omicron, namun pelbagai intervensi kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka masih perlu diteruskan.
Katanya langkah itu bagi melindungi mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai komorbiditi dan golongan kanak-kanak daripada mendapat kesan serius pelbagai varian COVID-19.
Beliau turut menyeru pihak hospital melakukan vaksinasi ‘opportunistic’ bagi meningkatkan pengambilan dos penggalak COVID-19.
“Keengganan mendapatkan dos penggalak ketika ini tinggi, jadi kalau mereka (pesakit) datang ke hospital dan sebagainya, mereka perlu percaya dengan kata-kata doktor.
“Jadi, tanya mereka – dah dapat dos penggalak belum, periksa jika mereka (pesakit) ada sejarah alahan dan yakinkan mereka untuk mengambil dos penggalak kerana saya nak liputan dos penggalak kita melebihi 70 peratus dewasa, baru kita rasa selesa sikit nak menghadapi Omicron.
Menurut Khairy beliau merayu kepada masyarakat agar mengambil dos penggalak ini bagi memastikan mereka terus mendapat pelindungan yang lebih berkesan.
“Saya rayu, ambil booster (dos penggalak) kerana dos primer adalah sebagai perisai, namun semakin hari perisai semakin nipis, jadi nak kena tambah ketebalan perisai itu sikit supaya kita dapat berdepan dengan musuh,” katanya.-BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.