Sorting by

×

COVID-19 tidak patahkan semangat usahawan tani

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER LIMAU 17 Jan. – Bukan semua usahawan Bumiputera ‘tertewas’ dengan pandemik COVID-19 sejak ia melanda negara pada Mac tahun lalu, sebaliknya ada yang berjaya bangkit menempuh cabaran.

Kesukaran untuk meneruskan perniagaan dalam sektor perkhidmatan penyediaan barangan hadiah dan cenderahati, sepasang suami isteri nekad beralih ke sektor penanaman cili besar melalui kaedah fertigasi.

Ady Irwan Samsuddin, 36, dan Norhidayah Naim, 33, bertindak berani melabur tidak kurang RM40,000 untuk menjadi usahawan tani berjaya dalam penghasilan cili besar.

Ady Irwan berkata, melalui bimbingan beberapa rakan yang berjaya dalam sektor itu, dia dan isteri memajak tanah kakaknya seluas kira-kira 0.1 hektar di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina di sini untuk memulakan pembinaan para diperbuat daripada besi ‘T Section.’

“Besi itu memerlukan kos tinggi tetapi berbaloi kerana ia tidak mudah karat dan tidak perlu diselenggara untuk jangka panjang berbanding menggunakan besi biasa.

“Para setinggi satu meter mampu mengelakkan serangan babi hutan atau serangga dalam tanah dan buat permulaan kami mengusahakan cili besar dalam 1,800 polibag,” katanya ketika ditemui di kebunnya hari ini.

Ady Irwan beralih kepada penanaman cili fertigasi.

Menurutnya, sistem pengepaman air dari tangki ke polibag mengikut waktu ditetapkan, mampu memastikan sabut di dalamnya sentiasa basah, sekali gus membolehkan benih cili membesar.

“Kaedah penanaman di atas para ini memudahkan untuk memetik cili yang dijangka boleh dituai dua bulan lagi berbanding kaedah penanaman di atas tanah,” katanya.

Norhidayah berkata, mereka bernasib baik kerana membuat simpanan sepanjang berniaga sebelum ini untuk dijadikan sebagai modal.

“Kami berharap projek ini berjaya dan mampu memberikan kerja sampingan sebagai pemetik cili kepada penduduk sekitar.

“Walaupun memerlukan kos tinggi, kami memberanikan diri menceburi penanaman cili ini dan syukur setakat ini tiada masalah pemasaran,” katanya.

Views:

1774
Kongsi :
Previous post Mana ada PKP di Kedah!
Next post Dua nelayan dikhuatiri lemas berhampiran Pulau Undan
Ubah saiz-+=