Sorting by

×

COVID-19 ragut 12 nyawa dalam dua hari di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 24 Mei – Situasi COVID-19 di Melaka terus berada di tahap membimbangkan apabila 12 kematian membabitkan warganegara tempatan dicatatkan tempoh dua hari sejak semalam.

Mengikut data Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, masing-masing enam kematian direkodkan semalam dan hari ini menjadikan angka kematian akibat COVID-19 di Melaka kini mencecah 50 orang.

Untuk hari ini sahaja, Melaka berada di tangga ketiga kes kematian tertinggi di seluruh negara, iaitu di belakang Selangor yang mencatat 16 kematian dan Johor (11 kematian).

Majoriti kematian hari ini membabitkan warga emas berusia 62, 66 dan 77 tahun yang mempunyai sejarah pelbagai penyakit, selain turut melibatkan seorang wanita berusia 54 tahun dan seorang lelaki 41 tahun yang tidak mempunyai sejarah penyakit.

Selain itu, COVID-19 turut meragut nyawa seorang lelaki berusia 27 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, sekali gus menjadi antara korban termuda di negeri ini.

Terdahulu, dalam satu sidang media hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend kematian yang semakin meningkat di Melaka.

Katanya, situasi di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka juga kian kritikal apabila jumlah pesakit kritikal dan pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan bertambah saban hari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

340
Kongsi :
Previous post Melaka terus catat peningkatan kes jangkitan COVID-19 harian
Next post Neelofa selesai beri keterangan di IPD Seremban
Ubah saiz-+=