COVID-19: Penggunaan katil ICU cecah 104 peratus

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR 8 Jun – Penggunaan katil bagi pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital Kementerian Kesihatan Malaysia seluruh negara mencecah 104 peratus, Ahad lalu menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ia meningkat daripada 96 peratus pada 24 Mei lalu.

Menurutnya kadar penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan dan tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal kini dapat ditempatkan di ICU.

“Bagaimanapun kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 bukan ICU di hospital menunjukkan sedikit penurunan dalam tempoh dua minggu, iaitu daripada 99 peratus kepada 89 peratus.

Begitu juga dengan kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) adalah sebanyak 54 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham hospital seluruh negara juga berdepan peningkatan kes COVID-19 bergejala serius kategori empat dan lima yang memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit.

Katanya pesakit berkenaan memerlukan tempoh yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan COVID-19.

Statistik yang diterima Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori empat adalah antara 14 hingga ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori lima pula, tempoh rawatan adalah selama 19 hingga 26 hari.

“Bahaya penularan COVID-19 dan kapasiti hospital (terutama ICU) bagi menampung kes-kes COVID-19 adalah di tahap kritikal dan boleh terus meningkat sekiranya kita alpa walau untuk sehari sekali pun.

Situasi ini tidak boleh diambil ringan, terutama sekiranya ada pihak yang menyebarkan interpretasi yang tidak benar mengenai situasi semasa ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata statistik juga menunjukkan jumlah kes positif COVID-19 pada minggu epidemiologi (ME) ke-22 menurun 2.6 peratus atau 1,379 kes berbanding minggu sebelumnya, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Namun begitu, dalam tempoh sama iaitu dari 30 Mei hingga 5 Jun, jumlah kes aktif didapati terus meningkat berikutan peningkatan kes mendadak pada ME ke-20 dan ME ke-21.

“Pada awal ME ke-21, jumlah kes aktif adalah sebanyak 57,022 kes dan pada awal ME ke-22 ia meningkat kepada 78,017 dengan peningkatan kes sebanyak 20,995 kes atau 37 peratus,” katanya.

Menurutnya pada hari ini, jumlah kes aktif COVID-19 yang masih dalam rawatan dan pemerhatian adalah sebanyak 82,797 kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post Zambry Abdul Kadir Setiausaha Agung BN Baharu
Next post PM menghadap Agong di Istana Negara
Ubah saiz-+=