COVID-19: “Pelanggan kini lebih berhati-hati” – peniaga
AYER KEROH 4 Nov. – Penularan pandemik COVID-19 yang menuntut pembudayaan norma baharu dalam kehidupan masyarakat seluruh dunia membuka peluang kepada peniaga kecil.
Meskipun pada awalnya ramai yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kini ia sudah menjadi kebiasaan buat para peniaga dalam norma baharu.
Seorang peniaga, Sahabudin Saad,56, berkata, jika dahulu pelanggan bebas dan bersahaja datang ke kedai untuk menjamu selera, namun sekarang situasinya lebih berbeza.
“Amalan norma baharu menjadikan pelanggan lebih berhati-hati ketika datang ke kedai, mereka akan imbas Kod QR atau tulis dalam buku log yang disediakan.
“Bukan itu saja, pemakaian pelitup muka juga turut digunakan pelanggan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi,” katanya.
Katanya, sebagai peniaga dia juga akan mengingatkan pelanggannya menjamu selera dengan memastikan jarak antara satu sama lain.
Manakala, Mohd Fauzi Dzulkiflee, 36, pula berkata walaupun norma baharu diterapkan, namun pelanggan masih mengikuti arahan yang ditetapkan.
“Bila waktu puncak memang ramai yang datang kedai makan, tapi kita dapat lihat mereka akan pakai pelitup muka dan imbas Kod QR atau tulis dalam buku log.
“Sebagai peniaga saya juga sentiasa pastikan segala SOP dipatuhi dan ia sudah menjadi amalan kepada setiap peniaga di negeri ini,” katanya.
Mohd Fauzi berharap supaya orang ramai dapat mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan pandemik COVID-19 beransur pulih.