
COVID-19 : Melaka merekodkan 344 kes positif hari ini
AYER KEROH 8 Feb. – Melaka terus menunjukkan peningkatan kes jangkitan harian COVID-19 dengan 344 individu dikesan positif hari ini.
Menurut Jabatan Kesihatan negeri daripada jumlah itu, seramai 341 adalah kes tempatan dan tiga jangkitan merupakan kes banduan atau orang kena tahan (OKT) dan pendatang tanpa izin (PATI).
Namun tiada kes import dilaporkan hari ini.
Katanya, negeri ini juga mencatatkan satu kematian membabitkan bukan warganegara iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun di Mukim Machap.
“Dalam jumlah itu, setakat ini seramai 1,733 individu sedang dirawat di Hospital Melaka dengan pecahan seramai 10 individu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lapan individu menggunakan bantuan kecemasan.
“Manakala, terdapat 16 kluster aktif di negeri yang mana Kluster Industri Serkam dilapor tertinggi hari ini dengan 329 kes baharu direkodkan sejak semalam dengan jumlah kumulatifnya sebanyak 1,195 orang disahkan positif COVID-19.
“Selain itu, sebanyak tiga kes baharu dari Kluster Tembok Sungai Udang dan satu kes baharu dari Kluster Jalan Masjid Tanah direkodkan” katanya.