COVID-19: Melaka antara negeri catat keputusan positif penurunan kes
KUALA LUMPUR 13 Mac – Melaka merupakan antara negeri yang catat keputusan positif dari segi penurunan kes COVID-19 sejak 14 hari lalu, yang turut disertai negeri Pahang, Kelantan, Putrajaya, Labuan dan Sabah, menurut laporan portal Berita Harian.
Pergerakan 14 hari taburan kes COVID-19 di Malaysia menunjukkan perkembangan positif apabila bilangan daerah yang bertukar kepada zon hijau dan kuning daripada jingga dan merah semakin bertambah, setakat semalam.
Ia berdasarkan data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) yang dikongsi di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), sebentar tadi.
Ia dilihat selaras dengan trend penurunan kes harian baharu COVID-19 ketika ini yang merekodkan bawah 2,000 kes sejak tujuh hari lalu, dengan yang terendah adalah 1,280 kes pada Selasa lalu.
Sebanyak 63 daerah dikategori sebagai zon kuning setakat semalam, berbanding 53 daerah zon kuning pada 14 hari lalu, manakala daerah zon hijau kekal 20 dalam tempoh sama.
Jumlah daerah zon merah pula mencatatkan penurunan daripada 66 pada 14 hari lalu kepada 56 setakat semalam, manakala daerah zon jingga kekal 20 dalam tempoh sama.
Kedah antara yang mencatatkan perkembangan positif ketara apabila mencatatkan empat daerah zon hijau, lima zon kuning dan dua zon merah, berbanding dua zon hijau, enam zon kuning, dua zon jingga dan satu zon merah pada 27 Februari lalu.
Selain itu, data CPRC menunjukkan semua daerah di tiga negeri iaitu Perlis, Pahang dan Labuan bebas daripada zon merah, namun 12 negeri masih merekodkan sejumlah daerah zon merah setakat semalam.
Negeri yang masih mencatatkan zon merah adalah Kedah dengan dua daerah, Pulau Pinang (lima), Perak (empat), Selangor (lapan), Kuala Lumpur (empat), Melaka (satu), Negeri Sembilan (satu), Johor (tujuh), Terengganu (dua), Kelantan (dua), Sarawak (12) dan Sabah (lapan).
Dua negeri masih mencatatkan zon merah di semua daerah iaitu Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, manakala Selangor merekodkan lapan zon merah dan satu zon kuning.
Jumlah negeri dan daerah dikategorikan zon merah yang masih tinggi mungkin menyebabkan sekatan rentas negeri masih belum boleh dibatalkan dalam masa terdekat.
Secara keseluruhan, sebanyak 23,582 kes positif COVID-19 dicatatkan di seluruh negara dalam tempoh 14 hari lalu, dan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 9,616 kes.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.