COVID-19: Melaka akan mulakan suntikan vaksin fasa 1 pada 2 Mac

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Feb. – Melaka akan memulakan proses suntikan vaksin fasa 1 bermula 2 Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, suntikan fasa pertama itu akan melibatkan 11,000 petugas barisan hadapan dan wakil rakyat di negeri ini.

Ujarnya, bagi fasa permulaan, semua tiga hospital dan klinik kesihatan di negeri ini akan dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

RAHMAD mengadakan sidang akhbar selepas vaksin COVID-19 (Pfizer- BioNTech) selamat tiba dan disimpan di stor khas di Hospital Melaka. Foto: MR. AZLI

“Hari ini merupakan hari bersejarah bagi negeri Melaka apabila kita menerima vaksin pertama COVID-19.

“Suntikan pertama kepada petugas barisan hadapan akan kita mulakan pada 2 Mac, tetapi sebelum itu pada 26 Februari kita suntik dahulu kepada vaksinator atau orang yang akan memberi vaksin bagi fasa pertama,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Hospital Melaka selepas menerima 8,190 dos vaksin pertama untuk negeri ini pada hari ini.

Rahmad berkata, sebanyak 2,810 lagi dos vaksin akan tiba di negeri ini dalam masa dua hari bagi melengkapkan jumlah 11,000 dos vaksin pada fasa 1.

Tambahnya, fasa 2 vaksin di Melaka pula dijangka bermula pada Mei hingga Ogos depan melibatkan 250,000 pesakit kronik dan warga emas, manakala fasa 3 membabitkan 400,000 individu berumur 18 tahun ke atas pada September hingga Februari 2022.

Mengulas lanjut, beliau menyeru orang ramai agar secara sukarela menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini.

“Jadi saya meminta orang ramai agar membuat pendaftaran melalui MySejahtera atau boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di talian 06-2356876,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

374
Kongsi :
Previous post Pengasas Sugarbook mengaku tidak bersalah, siar hantaran kegentaran awam
Next post Undur kereta sampai terjunam dalam sungai, penyeludup ditahan
Ubah saiz-+=