Sorting by

×

COVID-19: Masyarakat mula alpa – Exco Kesihatan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 28 Okt. – Peningkatan mendadak kes COVID-19 di seluruh negara sedikit sebanyak berpunca daripada kealpaan masyarakat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Hal itu diakui Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman yang berpendapat rakyat termasuklah di negeri ini seolah-olah menganggap negara sudah memenangi perang dengan COVID-19.

Jelasnya, situasi itu dapat dilihat di tempat awam dan majlis-majlis keluarga yang mana orang ramai dilihat tidak lagi memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Majoriti kes yang berlaku sekarang disebabkan kealpaan orang ramai. Walaupun di Melaka kes ini masih terkawal namun kita dapat melihat orang ramai sudah lupa memakai pelitup muka di tempat awam, sudah lupa mencuci tangan sebelum dan selepas laksanakan aktiviti, malah mereka juga sukar menjaga jarak fizikal satu meter.

“Dalam majlis keluarga contohnya, ramai yang masih bersalaman dan tidak menjaga jarak ketika bergambar. Mungkin ada yang berpendapat keluarga paling selamat, tetapi mereka lupa ada di antara keluarga yang datang dari pelbagai negeri termasuk tempat berisiko tinggi,” katanya.

Justeru, dia menyeru orang ramai agar dapat mengetatkan kembali SOP walau di mana mereka berada dalam usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

“Peningkatan sekarang begitu mendadak, jadi untuk putuskan rantaian ini, kita kena buat balik seperti di peringkat awal dahulu.

“Jika semua patuh dengan arahan dan SOP kendiri, Insyaallah kita dapat mengatasi pandemik ini di masa akan datang,” katanya lagi.

Views:

342
Kongsi :
Previous post ‘Terpukau’ komputer riba RM100,000
Next post Warga emas maut kemalangan
Ubah saiz-+=