COVID-19: Kuarantin di hotel perlu tanggung sendiri
MACHAP JAYA 10 Jan. – Individu yang disahkan positif COVID-19 dibenarkan menjalani kuarantin kendiri di hotel terpilih bagaimanapun perlu menanggung sendiri kos yang dikenakan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, perkara terbabit disebabkan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR, (CREaTe) Alor Gajah dan Pusat Latihan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tiang Dua yang tidak lagi dijadikan pusat kuarantin COVID-19 dikhuatiri menganggu penginapan pelajar di kawasan terbabit.
Bagaimanapun ujarnya, setiap pesakit yang disahkan menghidap wabak itu perlu menjalani rawatan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang rentetan kuota bagi menempatkan pesakit itu telah melebihi di Hospital Melaka (HM).
“Hospital Melaka boleh menampung lebih 200 pesakit saja dan apabila berlakunya peningkatan COVID-19, hospital itu tidak lagi mampu menampung dan sebab itu kita mencadangkan MAEPS dijadikan pusat rawatan buat pesakit ini.
“Bagi yang ingin mendapatkan rawatan di hotel pula perlu menanggung sendiri kos terbabit kerana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan dah menanggung berbillion ringgit, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Rendah Sumbangan Kerajaan Negeri Melaka Peringkat Parlimen dan DUN Negeri Melaka Sesi Akademik 2021 di Dewan Besar Kg Permai, Machap Umboo, Alor Gajah.
Hadir sama, Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Mustafa Musa dan Barisan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Melaka.
Dalam pada beliau menegaskan semua pihak perlu memberi kerjasama bagi membendung penularan COVID-19 memainkan peranan kendiri dengan mengelakkan 3S, dan mengambil tindakan rumah jika diperlukan bagi memutuskan rantaian wabak berkenaan.
“Saya pohon kepada seluruh rakyat agar jangan pergi ke tempat yang sesak, keluar rumah jika perlu bagi memutuskan rantaian ini.
“Saya kesal melihat ada juga ibu bapa yang ‘mengheret’ anak kecil untuk keluar sekali dari rumah sedangkan penyakit ini semakin meningkat di negara ini,” tegasnya.