COVID-19: Kompaun mesti ikut garis panduan- Takiyuddin

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KUALA LUMPUR 27 April. – Langkah mengenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) mestilah dilaksanakan mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata kerajaan telah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah akta tersebut untuk dijadikan panduan kepada pihak penguat kuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Mengikut garis panduan tersebut, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori tiga yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000.

“Pesalah-pesalah pula diberikan kadar pengurangan 50 peratus sekiranya membayar kompaun itu dalam tempoh tujuh hari dan 25 peratus sekiranya dalam tempoh 14 hari,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Takiyuddin menjelaskan pindaan yang dibuat terhadap Akta 342 itu adalah untuk menaikkan kadar kompaun yang boleh dikenakan bagi sesuatu tindakan atau perbuatan yang menjadi kesalahan kerana menyebabkan penularan wabak COVID-19 dalam negara ini.

Katanya, segala tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan di bawah undang-undang adalah bagi mencegah dan memberi pengajaran kepada pelaku agar sama-sama bertanggungjawab dalam usaha memerangi pandemik itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

261
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak tiga tahun lemas di tali air
Next post Kerajaan P.Pinang mahu Penang FC kekal dalam Liga Super musim depan
Ubah saiz-+=