COVID-19: kilang ayam di Serkam tidak patuh SOP, 604 pekerja positif
SERKAM 6 Feb. – Seramai 604 pekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam di sini disahkan positif COVID-19 setakat ini hasil ujian saringan dilakukan pada 1 Februari lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jangkitan itu dipercayai bermula dari seorang pekerja kilang yang bergejala dan kemudiannya menular kepada pekerja lain kalangan warga tempatan dan asing.
Beliau berkata, senario yang berlaku itu mewujudnya Kluster Industri Serkam selepas 1,871 pekerja menjalani ujian saringan sehingga hari ini.
“Dari pecahan jumlah keseluruhan yang disaring itu seramai 443 individu terdiri daripada pekerja tempatan dan 1,428 adalah pekerja asing.
“Manakala seramai 154 individu kontak rapat yang disaring dan diarahkan menjalani perintah kuarantin disahkan negatif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan meninjau pelaksanaan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19Â termasuk pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di sebuah kilang pemprosesan ayam di Serkam, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Dr Adham berkata, individu positif yang bergejala akan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) manakala yang tidak bergejala bagi bukan warganegara ditempatkan di asrama pekerja.
“Bagi warganegara mereka akan menjalani perintah kuarantin di rumah dengan seliaan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Kesang Tua dan Parit Gantung.
“Operasi kilang tersebut telah diarahkan tutup selama tujuh hari disebabkan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti meletakkan pekerja di tempat yang sesak dan sempit dengan tiada penjarakan sosial dititikberatkan.
“Penutupan ini adalah untuk mengawal dan mencegah COVID-19 dengan mengarahkan pelaksanaan sanitasi dan dekontaminasi di seluruh bangunan kilang,” katanya.