COVID-19: Kes baharu mingguan meningkat 8.5 peratus
Beliau berkata kes baharu pada ME 41 meningkat 8.5 peratus, berbanding 11,018 kes yang dicatatkan pada minggu sebelumnya (ME 40).
“Bilangan kes tempatan COVID-19 meningkat sebanyak 8.5 peratus kepada 11,916 kes berbanding 10,987 kes (minggu sebelumnya),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata bilangan kes import pada ME 41 turut meningkat iaitu sebanyak 32.3 peratus dengan 41 kes dicatatkan berbanding 31 kes pada ME 40.
Bilangan kes kematian pada ME 41 menurun 29.2 peratus daripada 24 kes kepada 17 kes, sementara bilangan kes sembuh menurun 13.2 peratus kepada 11,180 kes berbanding 12,882 kes pada ME 40.
Dr Noor Hisham berkata purata kes aktif setiap hari bagi ME 41 ialah 22,725, iaitu menurun sebanyak tiga peratus berbanding minggu sebelumnya.
Beliau berkata jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan termasuk hospital dan Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk secara keseluruhan tidak menunjukkan perubahan pada ME 41 berbanding ME 40.
Katanya, jumlah kemasukan pesakit kategori satu dan dua tidak berubah, namun jumlah pesakit kategori tiga, empat dan lima meningkat sebanyak 16.7 peratus.
Menurutnya, peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 41 berbanding ME 40 bagi katil bukan kritikal tidak berubah, menurun dua peratus bagi katil unit rawatan rapi (ICU) dan masih tiada katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang aktif.
Beliau berkata dari 25 Jan 2020 iaitu ME 4 hingga 8 Okt 2022 (ME 41) secara kumulatif sebanyak 4,865,480 kes baharu COVID-19 dicatatkan sementara kes sembuh yang direkodkan ialah 4,805,200.
Katanya, kumulatif kes kematian yang dicatatkan bagi tempoh sama adalah sebanyak 36,415 kes dan kumulatif kluster ialah 7,085 kluster dengan lapan kluster masih aktif. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.