Sorting by

×

COVID-19: Kerajaan timbang saring pekerja asing setiap dua minggu

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Kerajaan akan mempertimbangkan keperluan untuk mewajibkan semua pekerja asing menjalani saringan COVID-19 setiap dua minggu, kata kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keutamaan kerajaan pada masa ini adalah kepada saringan kesihatan yang diwajibkan bagi pekerja asing di negeri-negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Setakat ini, kita akan mulakan ujian calitan kepada semua pekerja asing (di negeri dikenakan PKPB), kalau mereka negatif kita akan kuarantin dan jika positif kita hantar ke hospital.

“Kalau ada keperluan untuk ujian calitan setiap dua minggu kita akan bincangkan, untuk pusingan pertama ini (melibatkan) 1.7 juta (pekerja asing) kita selesai saring mereka ini dulu,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ismail Sabri mengumumkan supaya saringan kesihatan diwajibkan bagi semua pekerja asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan, melalui kaedah RTK Antigen.

Jelasnya, ia penting bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan mereka.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berakhir 6 Dis ini, mungkin dilanjutkan sekiranya terdapat pertambahan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.

Beliau, bagaimanapun, berkata perkara itu akan ditentukan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat membuat penilaian risiko di lokasi PKPB berkenaan.

“Kita akan umumkan perkara ini (sama ada dilanjutkan PKPB atau tidak) berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan KKM dalam minggu terakhir sebelum 6 Dis ini.

“Sekiranya terdapat pertambahan kes positif baharu di kawasan-kawasan ini, mungkin PKPB dilanjutkan tetapi sekiranya tiada jangkitan baharu ia akan ditamatkan,” katanya.

PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sepatutnya tamat pada 9 Nov lalu disambung sehingga 6 Dis ini.

— BERNAMA

Views:

345
Kongsi :
Previous post PKPD di Taman Perumahan mukim Sungai Seluang, Kulim bermula Jumaat
Next post Belanjawan Melaka 2021 dijangka dibentang 11 Disember
Ubah saiz-+=