Sorting by

×

COVID-19: Hotel Ames dan Hotel MetraSquare Ayer Keroh tutup 9 hari

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH: Hotel Ames dan Hotel MetraSquare di sini ditutup sementara berkuat kuasa 8 hingga 16 Mei ini susulan 10 kakitangan pejabat pentadbirannya dikesan positif COVID-19.

Notis penutupan sementara itu turut dimuat naik oleh pihak pengurusan hotel terbabit di Instagram rasmi mereka.

Penolong Pengurus Eksekutif Hotel Ames dan Hotel MetraSquare Nurashiken Zainal Abidin berkata, penutupan dibuat untuk pihaknya melaksanakan kerja-kerja proses sanitasi terperinci di kedua-dua hotel.

PENOLONG Pengurus Eksekutif Hotel Ames dan Hotel MetraSquare Nurashiken Zainal Abidin

“Ini (penutupan sementara) sangat penting untuk memastikan kami akan mengadakan proses sanitasi terperinci di kedua-dua hotel demi memastikan keselamatan pelanggan-pelanggan dan kakitangan kami terjamin,” katanya dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) sebentar tadi.

Menurutnya, awalnya hanya seorang pekerja di pejabat pentadbiran Hotel Ames dikesan positif wabak itu selepas hadir bekerja pada 4 Mei lalu dalam keadaan mengalami gejala selsema.

“Apabila menyedarinya kami dengan segera menyuruh beliau mendapatkan rawatan sebelum keesokannya pekerja terbabit memaklumkan dirinya positif (COVID-19).

“Pihak pengurusan kemudian segera membuat pengesahan kontak rapat beliau untuk dihantar menjalani ujian calitan.

“Kemudiannya kami dapati ada 10 pekerja dijangkiti dan ini menjadikan ia Jalan PKAK Ayer Keroh dan dimaklumkan kepada umum,” katanya

 

SANITASI menyeluruh bangunan bagi membasmi wabak COVID-19 ketika tinjauan di Hotel Ames dan MetraSquare, Ayer Keroh. Foto: MR. Azli

Nurashiken berkata, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka yang dimaklumkan perkara itu hadir dan menasihati pihak hotel menghantar kesemua kakitangan yang lain untuk ujian calitan.

Katanya, pihak hotel menggunakan khidmat Hospital Pakar Putra Melaka untuk menjalankan ujian calitan kepada 221 pekerja lain pada Jumaat dan Sabtu.

“Kami dimaklumkan keputusan pada 2 pagi tadi. Alhamdulillah semua (pekerja) yang lain didapati negatif,” katanya.

Kerja-kerja sanitasi bangunan bagi membasmi wabak Covid-19 dijalankan ketika tinjauan di Hotel Ames, Ayer Keroh. Foto: MR. Azli

Pihak hotel katanya tidak sabar memulakan operasi hotel semula berikutan sambutan amat menggalakkan kalangan pelanggan bagi pakej berbuka puasa.

“Sambutan bagi berbuka puasa Ramadan permintaannya sangat tinggi dan kami mengawal bilangan yang sepatutnya kami terima.

“Kami sangat reda menghadapi keadaan ini dan mudah-mudahan akan pulih pada masa akan datang,” katanya lagi.

BERITA BERKAITAN: Kluster Jalan PKAK Ayer Keroh: Kemungkinan besar kes sporadik – Rahmad

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1069
Kongsi :
Previous post Lebih 10 individu positif Kluster Jalan PKAK Ayer Keroh
Next post Pencarian kanak-kanak dikhuatiri lemas diperluas hingga ke Sungai Linggi
Ubah saiz-+=