COVID-19: Grand Lexis, Lexis Port Dickson ditutup dua hari

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PORT DICKSON 21 Jan – Lexis Port Dickson dan Grand Lexis Port Dickson ditutup selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 Jan ini.

Lexis Hotel Group dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan itu dilakukan susulan terdapat kes positif COVID-19 melibatkan kakitangannya.

Kenyataan itu menyebut, setakat ini terdapat lima kes positif melibatkan kakitangan hotel berkenaan yang mula dikesan pada 11 Jan lalu.

“Kakitangan berkenaan telah diarah untuk menjalani kuarantin dengan segera. Ini termasuk juga kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan mereka yang positif.

“Kami ingin memaklumkan bahawa setiap hari kakitangan di kedua-dua hotel perlu menjalani saringan sebelum memulakan tugas mereka. Kakitangan yang telah disahkan negatif dan tidak mempunyai simptom telah diarahkan untuk bertugas.

“Bagaimanapun, pada hari ini, lebih kurang 10 peratus tenaga kerja di kedua-dua hotel Lexis telah disahkan positif,” kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jelas Lexis Hotel Group, penutupan selama dua hari itu dilakukan bagi tujuan sanitasi dan desinfeksi melibatkan bilik, restoran serta kemudahan lain yang terdapat di kedua-dua hotel berkenaan.

Katanya, sebuah lagi hotel iaitu Lexis Hibiscus Port Dickson telah ditutup sehari pada 18 Jan lalu bagi kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi.

Sehubungan itu, Lexis Hotel Group memohon maaf kepada semua pelanggan atas kesulitan yang berlaku.

“Bagi pelanggan yang sudah membuat tempahan hotel pada 24 dan 25 Jan ini di Lexis Port Dickson dan Grand Lexis Port Dickson mereka boleh menunda tarikh lain tanpa dikenakan sebarang penalti atau boleh memohon untuk mendapatkan bayaran balik sepenuhnya.

“Selain itu, bagi pelanggan yang sudah membuat tempahan di kedua-dua hotel Hotel Lexis Group pada 21 hingga 29 Jan ini yang tidak selesa untuk bercuti pada waktu ini, mereka boleh menunda tarikh lain atau mendapatkan bayaran balik sepenuhnya.

“Bagi baucar bilik yang berakhir pada 15 April pula boleh digunakan sehingga 30 April ini,” tambah kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2245
Kongsi :
Previous post Melaka garis lima keutamaan pacu pembangunan, ekonomi rakyat
Next post 18 ‘Wishlist’ Melaka demi pembangunan rakyat – KM
Ubah saiz-+=