COVID-19: Freeport A Famosa Outlet disanitasi

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TABOH NANING 2 Okt. – Tindakan pencegahan segera telah diambil pengurusan Freeport A Famosa Outlet (FOA) selepas dimaklumkan terdapat dua individu yang berkunjung ke lokasi terbabit pada 29 September lalu yang mempunyai sejarah perjalanan membabitkan penularan COVID-19.

Menurut pengurusan pusat beli belah itu, pembersihan secara mendalam bagi menyah kuman secara menyeluruh di seluruh premis itu telah dilaksanakan sebaik dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ujarnya, pihaknya turut mempertingkatkan frekuensi pembersihan berkala di bangunan terbabit mengikut prosedur operasi standard SOP yang telah ditetapkan.

“KKM memaklumkan semalam bahawa kami diberi kelulusan bagi meneruskan operasi seperti biasa seperti mana kami akan terus melakukan langkah pencegahan bagi melindungi keselamatan orang ramai.

“Kakitangan pusat membeli-belah ini telah dilatih untuk menerapkan piawaian terhadap keutamaan kebersihan dan sanitasi berketepatan dengan SOP dikeluarkan KKM.

“Kami mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh KKM dengan mengutamakan kebersihan, mengamalkan pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial pada setiap masa ketika berada di premis kami,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Freeport A Famosa yang terletak di Simpang Ampat, Alor Gajah merupakan antara lokasi tumpuan utama pelancongan di negeri ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini di pusat beli belah itu mendapati, operasi jualan di setiap premis bangunan itu berjalan seperti biasa dengan kawalan ketat di dua pintu masuk utama telah diawasi unit polis bantuan.

Bangunan yang dilihat sepi pada awal pagi tadi semakin didatangi pengunjung dan ia dilihat semakin meningkat menjelang tengah hari tadi.

Bagaimanapun, setiap pengunjung yang memasuki bangunan itu telah melakukan pemeriksaan suhu badan dan pendaftaran masuk mengikut pematuhan yang telah ditetapkan.

Tinjauan juga mendapati setiap jendela cermin di setiap premis juga dipenuhi dengan kod imbasan QR yang jelas bagi kemudahan imbasan aplikasi MySejahtera selain setiap lantai yang kebanyakkan berdekatan kaunter pembayaran turut menguatkuasakan pemasangan penjarakan fizikal.

Views:

970
Kongsi :
Previous post ‘Saya akan pikul amanah suami’
Next post Latihan atlet SUKMA Melaka tidak terganggu
Ubah saiz-+=