COVID-19 diletak bawah penyakit khidmat kerana peralihan ke fasa endemik
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata tuntutan faedah berkaitan kes COVID-19 yang sebelum ini dikategorikan sebagai tuntutan pekerja Orang Berinsurans (OB) merupakan inisiatif Perkeso untuk bersama-sama kerajaan membantu rakyat menghadapi kesan penularan wabak tersebut.
“Kalau ikutkan dalam perjanjian semasa kita menjadi ahli Perkeso tidak ada perkataan yang kita nak bagi kepada (pekerja dijangkiti) COVID-19 sebab siapa pun tidak menjangkakan wabak ini, bukan setakat Malaysia malah seluruh dunia.
“Kita cuba bantu rakyat dengan tambah satu bantuan prihatin ini jadi ia tidak akan berkekalan la. Ia atas inisiatif Perkeso,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UiTM Cawangan Terengganu bersama Chefonic Kitchen Equipment Sdn Bhd dan Amni Food Industries Sdn Bhd di sini hari ini.
Awang berkata tuntutan faedah berkaitan kes COVID-19 yang sebelum ini dikategorikan sebagai tuntutan pekerja Orang Berinsurans (OB) adalah bagi membantu golongan pekerja yang dijangkiti COVID-19 memandangkan semua pihak termasuk majikan dan pekerja di kebanyakan sektor terkesan dengan penularan wabak tersebut.
Perkeso dalam kenyataan sebelum ini berkata bermula 1 April, pertubuhan tersebut akan memproses tuntutan faedah berkaitan kes COVID-19, di bawah kategori Penyakit Khidmat.
Pada majlis tersebut, Awang turut mengadakan lawatan ke tapak pertandingan WorldSkills Malaysia (Belia) 2022 dan WorldSkills Malaysia (Pengajar) 2022 di UiTM Cawangan Dungun.
Kedua-dua pertandingan tersebut disertai oleh pelajar dan pengajar dari pelbagai universiti di negara ini dan diadakan selama empat hari bermula Sabtu (28 Mei). – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.