COVID-19: Bekas pemuzik orkestra jual buah
BATU BERENDAM 13 Ogos – Biarpun diduga dalam karier seni hingga kehilangan pendapatan, namun ia bukan penghalang untuk berikhtiar bagi meneruskan kehidupan.
Bagi bekas pemain biola orkestra, Ransome Ho Choon Seng, 51, ‘bertukar’ dari dunia seni ke bidang perniagaan kecil-kecilan bukan mudah, malah memerlukan motivasi yang cukup tinggi.
Dia yang sebelum ini membuka kelas muzik serta menyediakan perkhidmatan membaik pulih alatan muzik sejak 1993 terpaksa mencari jalan lain dengan menjual buah-buahan secara atas talian selepas sektor itu tidak dibenar beroperasi ketika Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Sejak pandemik ini melanda kelas muzik yang saya usahakan merosot hingga 70 peratus, malah saya juga kehilangan anak murid yang menarik diri berikutan situasi ini.
“Kebanyakan ibu bapa tidak mampu bayar yuran, malah ada yang tidak dapat meneruskan kelas di atas talian berikutan tidak bersesuaian kerana latihan muzik memerlukan secara fizikal dan bersemuka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mesra disapa ‘Uncle Ron’ dan mahir menggesek biola katanya, dia nekad berniaga kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan keluarga dan menampung sewa studionya di Taman Merdeka.
Hasil usaha kerasnya dia hanya menerima sekitar 30 peratus untung bersihnya daripada RM10,000 hasil jualan buahnya itu dalam sebulan.
“Saya cuba jual di atas talian dan akan menghantar sendiri buah yang dipesan pelanggan. Syukur kerana jualan saya dapat sambutan daripada ramai penduduk di Melaka.
“Awalnya hanya nak mencuba dan bantu rakan yang berdepan lambakan buah-buahan seperti buah naga dan strawberi disebabkan tidak dibeli dan tidak dapat dieksport dan akhirnya mengalami kerosakan,” katanya.
Biarpun berdepan dugaan dia tetap gigih membantu masyarakat yang susah di negeri ini hingga ramai memberi sokongan kepadanya yang bergerak sendiri untuk membantu rakyat.
Anak jati Tengkera itu berkata, setakat ini ramai penduduk memerlukan telah diberi kit makanan hasil keuntungan jualan termasuk sumbangan orang ramai.
“Saya berpegang apabila kita bantu orang kita pasti akan dapat lebih lagi, ia sama seperti kita berzakat, ada rezeki lebih kita simpan dan kita beri kepada orang.
“Selepas ini saya menyasarkan bantuan untuk pekerja asing yang turut terkesan akibat pandemik ini,” katanya.
Choon Seng pernah menempa nama di beberapa konsert orkestra negara melibatkan artis terkenal tanah air seperti Ning Baizura, Datuk Sheila Majid dan Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini.
Menurutnya dia pernah mempelajari cara baik pulih alat muzik gitar dan biola di England sebelum kembali ke Malaysia pada 1993 dan membuka kedai berkenaan, namun mengalami kerugian besar akibat kegawatan ekonomi pada 1997.
“Mujur saya dapat tawaran dan bekerja di syarikat pembuatan alat muzik, Saga Musical Instrument di Amerika Syarikat sebagai pengurus produk dan turut mengusahakan sebuah bengkel baik pulih di sana.
“Saya kemudiannya dapat tawaran bekerja di Jerman sebagai Pengarah Pemasaran Asia Pasifik dalam pembuatan alatan muzik selama setahun sebelum dihantar untuk membuka kilang di China.
“Pada 2003 saya kembali ke Malaysia dan berkecimpung dalam perkhidmatan baik pulih peralatan muzik sebelum membuka syarikat jualan alat muzik dari luar negara serta kelas muzik pada 2019,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.