COVID-19: 1.8 peratus libatkan individu Kategori Tiga, Empat dan Lima – Noor Hisham
KUALA LUMPUR 20 Okt – Hanya 1.8 peratus atau 102 kes daripada 5,516 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, melibatkan individu dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima.
Kategori Tiga merujuk kepada mereka yang mempunyai radang paru-paru, Kategori Empat memerlukan bantuan oksigen dan Kategori Lima memerlukan bantuan pernafasan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 5,414 kes atau 98.2 peratus pula terdiri daripada mereka dalam Kategori Satu dan Dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.
“Daripada jumlah kes baharu itu, 5,502 kes melibatkan penularan dalam negara manakala 14 kes adalah kes import,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.
Beliau berkata sebanyak 9,401 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah kes pulih daripada wabak itu kini 2,297,289.
Menurut Dr Noor Hisham, terdapat 669 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 333 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Dalam pada itu, beliau berkata empat kluster baharu dikenal pasti membabitkan tiga kluster tempat kerja dan satu kluster pendidikan lain.
Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.