Sorting by

×

Contohi pemimpin lama walau tidak tercalon, masih setia dan berjuang

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

GADEK 6 November – Sikap ditonjolkan beberapa pemimpin UMNO yang tidak terpilih untuk bertanding wajar diberi pujian dan berharap menjadi ikutan kepada pemimpin muda yang mendahulukan kesetiaan parti berbanding impian peribadi.

Calon Barisan Nasional (BN) Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan berkata, sebagai antara calon muda yang diberi peluang untuk memperjuangkan nasib rakyat di Parlimen Alor Gajah, beliau berharap tindakan seumpama itu menjadi garis panduan kepada dirinya untuk mengutamakan perjuangan parti.

Katanya, sikap yang ditonjolkan nama-nama besar dalam kepimpinan UMNO seperti Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Noh Omar pastinya kecewa nama mereka tidak disenarai sebagai calon namun mereka mempamerkan kesetiaan kepada parti.

“Sebagai Ketua Penerangan UMNO, saya juga terpanggil untuk melahirkan rasa penghargaan dan harap suatu hari nanti apabila saya lebih dewasa saya boleh mencontohi tindakan sebegitu.

“Yang meletakkan parti di hadapan cita cita peribadi dan individu..Mereka adalah ‘giant’ dalam parti. Bukan calang-calang orang yang tidak disenaraikan sebagai calon tapi tetap setia dengan parti dan ini adalah sesuatu yang perlu dipuji.

“Jadi daripada kita fokus kepada orang buat berlainan (bertanding atas tiket parti lawan), lebih baik kita puji dan angkat, mereka yang menjadi contoh kepada anak muda,” katanya.

WhatsApp Image 2022-11-06 at 10.24.44 AM
CALON BN Alor Gajah, Shahril Sufian

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Deepavali anjuran Dewan Undangan Negeri (Dun) Gadek di sini hari ini yang turut dihadiri Exco Belia dan Sukan, VP Shanmugam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek.

Shahril Sufian menjawab kepada pemberita ketika ditanya mengenai tindakan sesetengah pemimpin UMNO yang namanya digugurkan untuk menjadi calon BN namun bertanding atas tiket parti lawan.

Semalam, media melaporkan tiga pemimpin UMNO yang bertanding atas tiket parti lawan atau Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dipecat keahlian parti serta-merta.

Pada penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam, penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, yang kedua-duanya pemimpin UMNO bertindak mempertahankan kerusi masing-masing atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, seorang lagi pemimpin UMNO iaitu penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut bertanding mempertahankan kerusi berkenaan dan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi atas tiket Bebas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1753
Kongsi :
Previous post PRU15: 108 calon bebas bertanding, penyertaan tertinggi dalam sejarah
Next post Utamakan kerja hakiki sebelum bantu calon berkempen – KM
Ubah saiz-+=