Contohi MPHTJ beri vaksin kepada peniaga – KM

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 28 Ogos – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Melaka melaksanakan pemberian vaksin kepada penjaja dan peniaga.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, program vaksinasi dalam kalangan penjaja dan peniaga itu demi memastikan semua penjaja dan peniaga mendapat vaksin supaya dapat berniaga semula.

“MPHTJ adalah PBT pertama, ia akan diikuti yang lain.

“Selain penjaja yang berdaftar, ada kalangan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan MPHTJ tidak dilupakan dan diberikan peluang untuk menerima vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Program Vaksinasi dan Trauma Penjaja, Peniaga dan Penyewa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di perkarangan Melaka Mall, di sini, hari ini.

Program vaksinasi itu adalah hasil usaha kerajaan negeri menerusi MPHTJ dengan kerjasama Kelab Peminat Cubprix Malaysia bersama Mercy Malaysia dan Universiti Multimedia (MMU) Melaka.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, beliau turut mengarahkan PBT lain melaksanakan pemberian vaksin kepada peniaga dan penjaja bagi mempercepatkan program vaksinasi dalam kalangan rakyat.

“Saya mahukan semua penjaja dan peniaga dalam negeri Melaka ini diberikan vaksinasi dan selepas ini disusuli oleh PBT lain.

“Saya mengarahkan semua PBT utk mengikut jejak langkah seperti mana dilakukan oleh MPHTJ,” katanya.

Sementara itu, Shadan berkata, seramai 1,710 membabitkan penjaja, peniaga dan penyewa MPHTJ menerima suntikan vaksin.

“Ia berlangsung selama dua hari dan seramai 750 penjaja, peniaga dan penyewa menerima vaksin hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post PM pulang ke kampung halaman, ziarah pusara ibu bapa
Next post Ismail Sabri bertemu masyarakat Bera buat pertama kali sebagai PM
Ubah saiz-+=