“Contohi budaya Jepun” – Abdul Ghafaar

Masa Membaca:9 Minit, 56 Saat

ASPEK kebersihan menjadi antara agenda utama yang amat dititikberatkan oleh Kerajaan Melaka. Justeru kerajaan negeri menyasarkan untuk kembali menjadi negeri paling bersih di negara ini sebagaimana pernah dikecapi beberapa tahun lalu. Demikian iltizam Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan.

Dalam wawancara  bersama Melaka Hari Ini (MHI), beliau turut menyentuh beberapa isu termasuk perumahan, alam sekitar dan kepimpinan kerajaan negeri. Ikuti Wawancara Khas MHI bersama Abdul Ghafaar.

MHI: Apakah usaha-usaha kerajaan negeri untuk mengembalikan semula status Melaka sebagai negeri terbersih di negara ini yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu.

Abdul Ghafaar: Melaka suatu ketika dahulu pernah dianugerahkan sebagai sebuah negeri terbersih di Malaysia pada 2017 daripada sebuah badan dunia.

Bukan kita yang mahu menggelarkannya (negeri bersih) tetapi kita diiktiraf oleh sebuah badan dunia iaitu Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang dianggotai 30 negara maju di dunia.

Justeru kita ingin mengembalikan semula nostalgia yang pernah dikecapi dahulu apabila ‘player’nya adalah orang sama dalam kerajaan dahulu seperti Datuk Bandar, Yang Dipertua Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Saya yakin kita dapat kembalikan semula ‘glory’ yang pernah kita kecapi dahulu.

MHI: Apakah penilaian Datuk Seri terhadap peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat konsesi dalam menjaga kebersihan negeri ini.

Abdul Ghafaar: Di Melaka terdapat dua konsesi iaitu konsensi kebersihan dari segi kutipan sampah yang ditugaskan kepada syarikat yang mengendalikan kutipan sampah SWM.

Mereka ini sudah lama tetapi SWM hanya sebagai kontraktor konsesi dan SWCorp adalah agensi dilantik kerajaan.

Setakat hari ini saya berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan SWM dalam urusan kutipan sampah.

Konsesi kedua pula Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd (Selia Senggara) untuk kerja-kerja membaiki dan membersih jalan di Melaka di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

Baru-baru ini terdapat sedikit salah faham antara PBT dan Selia Senggara bagaimanapun ia dapat diselesaikan.

Yang penting kebersihan bahu-bahu jalan dilakukan oleh pihak Selia Senggara dan saya berharap pihak ini akan terus memberi tumpuan sepenuhnya.

Ia berbeza sedikit dengan tugas PBT yang perlu melakukan kerja dua kali sebulan berbanding hanya sekali oleh Selia Senggara.

Kita tidak mahu bahu jalan ada rumput panjang dan sampah tidak dikutip, zaman negeri bersih dahulu kita ada ‘picker’ yang mana seorang individu akan menaiki motosikal dengan membawa kayu untuk mengutip sampah.

Hari ini kita mahu kembalikan ‘picker’ dan akan minta PBT wujudkannya. Sekurang-kurangnya ada peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan.

MHI: Bila khidmat ‘picker’ dihentikan.

Abdul Ghafaar: Pada zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) dulu kita ada khidmat `picker’ tetapi bila kerajaan Pakatan Harapan (PH) ambil alih, khidmat ini dhentikan. Saya minta khidmat ini dikembalikan semula peranannya kerana ia mustahak.

MHI: Jadi apakah peranan dan tanggunjawab sebenar PBT dalam menjaga kebersihan ini.

Abdul Ghafaar: Di Melaka kebersihan bandar terletak di tangan PBT. PBT perlu memainkan peranan memberi kesedaran selain pentingnya sikap manusia itu sendiri menjaga kebersihan.

Contohnya , jika seseorang itu berasal dari keluarga pembersih, dia memang ada sifat kesedaran dari segi kebersihan.

Ia mudah, walau apa jua keadaan pun, dia akan fikirkan tentang kebersihan. Contohnya apabila dia makan gula-gula, dia tidak buang merata-rata di tepi jalan sebaliknya dia sanggup buang di dalam poket.

Itu tandanya dia betul-betul jaga kebersihan dan ada kesedaran.

Maknanya dia sanggup kotorkan poketnya daripada dia mengotorkan alam sekitar. Ini sifat orang yang maju.

Kalau mahu lebih maju lagi, sifat orang Jepun bukan sahaja menjaga kebersihan di sekelilingnya  tetapi sampah orang lain pun dia kutip asalkan bersih, itu di negara majulah.

Kita harap rakyat Melaka ada kesedaran seperti ini. Kerana apa, yang pertama kebersihan dituntut oleh agama, kedua, ia dapat mengurangkan kos pembersihan.

Jika semua menjaga kebersihan maknanya pekerja-pekerja seperti SWM mudah melakukan kerja dan jimat kos.

 

MHI: Mungkin tahap penguatkuasaan masih kurang berkesan dan denda mungkin rendah.

Abdul Ghafaar: Sehingga bila kita hendak guna penguatkuasa. Maknanya, depan mata kita, dia tidak buang tetapi belakang penguatkuasa dia boleh buang sewenang-wenangnya.

 MHI: Sejauhmana kejayaan kempen kesedaran dan kempen kitar semula yang dijalankan kerajaan negeri setakat ini.

Abdul Ghafaar: Saya difahamkan banyak kempen kesedaran dianjurkan PBT dan konsensi seperti SWCorp selain program kemasyarakatan.

Ada juga menganjurkan kursus kesedaran kepada suri rumah contohnya perut ikan jangan dibuang begitu sahaja kerana ia boleh menjadi baja dan kemudiannya diguna untuk tanaman.

Barang lusuh seperti baju lama digunakan sebagai bahan kitar semula dan boleh mendapat pendapatan sampingan untuk suri rumah.

MHI: Mungkin kerajaan negeri bercadang mahu mewujudkan semula pertandingan kampung terbersih yang pernah diadakan suatu ketika dahulu.

Abdul Ghafaar: Insyallah, kerana pertandingan ini merupakan satu inisiatif untuk memberi semangat kepada masyarakat sebagaimana disarankan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

Elok diadakan pertandingan kebersihan bagi menggalakkan masyarakat berlumba-lumba membersihkan kawasan kampung dan bandar.

MHI: Dalam memastikan Melaka menjadi negeri terbersih, mungkin Melaka memerlukan kos pengurusan yang tinggi yang perlu ditanggung. Bagi tujuan itu, mungkin wujud peningkatan kos dari tahun ke tahun.

Abdul Ghafaar: Ambil contoh kalau hendak isteri cantik sudah tentu kena ada belanja, begitu juga dengan apa sahaja kita mahu buat.

Hendakkan keindahan mesti ada belanja. Kita cantikkan bandar dengan tanaman dan bunga-bunga yang berwarna warni.

Sedap mata memandang dan tiada cantik tanpa kos, memang perlu tambah kos sikit tetapi atas kemampuan dan tidak sampai mahu berhutang, itu pandangan saya.

 

MHI: Bagaimana kerajaan negeri memantau aktiviti tapak pelupusan sampah haram di seluruh negeri ini.

Abdul Ghafaar: Ini pun satu masalah juga yang mana mereka sesuka hati mahu buang sampah.

Kadangkala masyarakat di taman perumahan atau pinggir kampung tiada tempat untuk membuang sampah. Mereka mencari jalan untuk membuang sampah sesuka hati.

Ada sesetengah pemaju perumahan dan kilang tidak bertanggungjawab mencari jalan untuk mengurangkan kos bagi melupuskan sampah-sampah mereka.

Kalau tidak dihalang mereka boleh mengotorkan negeri ini.

Justeru kita arahkan PBT untuk memantau isu ini. Seperti di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) ada pasukan ‘Mata Helang’.

Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) pun ada pasukan yang merayau dan mengintip tempat pembuangan sampah haram.

Banyak tangkapan, saman dan denda dilakukan PBT terhadap mereka yang tidak bertanggunjgwab ini.

MHI: Adakah Datuk Seri berpuas hati dengan tahap kebersihan di kawasan pelancongan terutama  membabitkan kemudahan awam seperti tandas.

Abdul Ghafaar: Bagi saya selagi ada kekotoran itu, saya tidak akan puas hati maknanya sampai betul-betul bersih seperti di Jepun.

Kalau kita pergi ke tandas di Jepun kita hendak basuh tangan kalau air merecik itu pun kita rasa bersalah.

Kita tidak boleh katakan sesuatu itu bersih kalau hanya dilihat dari sudut luaran.

Kalau tandas kotor maknanya ia belum boleh dikatakan bersih.

Kita mahu bersih semua sekali seperti tandas awam, tempat awam, pejabat dan peniaga-peniaga kita kena ada susun atur yang baik, semua kena mainkan peranan termasuk rakyat dalam menjaga kebersihan.

Masih banyak lagi kita kena perbetulkan untuk tandas awam. Kadangkala ia bersih tetapi berbau hanyir sebab itu perlu ada pertandingan kebersihan tandas.

MHI: Apakah status tapak pelupusan sampah di Sungai Udang ketika ini.

Abdul Ghafaar: Memang kita menunggu kerajaan pusat untuk mengadakan insinerator.

Setakat hari ini ia masih dalam proses, kita sudah buat pengambilan tanah untuk tapak itu. Difahamkan Kerajaan Persekutuan sudah mula membicarakan hal untuk mengadakan insinerator.

Saya harap ia akan dapat menyelesaikan masalah tapak pelupusan sampah. Kalau kita teruskan tapak sedia ada secara konvensional memang akan ada masalah.

Bila ada ada insinerator, masalah dapat dikurangkan dan harapan saya agar insinerator ini dapat dipercepatkan oleh Kerajaan Persekutuan.

MHI: Dari mana teknologi insinerator ini kita peroleh.

Abdul Ghafaar: Teknologi ini ada banyak. Saya sudah pergi banyak tempat seperti Singapura.

Di Korea dan Jepun, setiap bandarnya ada insenarator. Jadi tidak banyak masalah sampah di negara maju ada alat lupuskan sampah.

Sebab itu Melaka sepatutnya sudah ada insinerator untuk selesaikan masalah.

MHI: Berapa kapasiti insinerator yang dicadangkan di Melaka

Abdul Ghafaar: Saya tidak pasti lagi berapa kapasitinya. Insinerator tidak boleh membakar semua sampah kerana ada tidak boleh dibakar. Sebab itu perlu ada pengasingan sampah.

MHI: Berapa tapak pelupusan sampah yang wujud di Melaka.

Abdul Ghafaar: Melaka ada satu di Sungai Udang. Dulu ada di Krubong tapi sudah ditutup. Berapa lama kita hendak buat tapak pelupusan.

MHI: Berapa peratus peningkatan sampah di Melaka.

Abdul Ghafaar: Sampah memang banyak tetapi saya tidak ada angka yang tepat tapi dari semasa ke semasa ia memang meningkat.

MHI: Mungkin kadar pembuangan sampah berkurangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Abdul Ghafaar: Tidak juga, sama sahaja.

MHI: Pembuangan sampah banyak dihasilkan oleh kediaman atau pihak industri.

Abdul Ghafaar: Sampah banyak dihasilkan daripada penduduk kediaman. Banyak makanan tidak habis akan dibuang. Kena ada sikap kesedaran.

MHI: Bagaimana dengan penggunaan beg plastik.

Abdul Ghafaar: Kita sebenarnya sudah lama tidak benarkan penggunaan plastik kerana ia boleh mengakibatkan pencemaran.

Dulu kita sudah galakkan guna biodegradasi, plastik yang boleh dilupuskan. Dulu zaman BN sebelum PH ambil alih memang kita sudah galakkan pasar raya dan kedai gunakan plastik yang boleh diserapkan tapi masyarakat masih lagi belum sedar dan hari ini masih digunakan.

MHI: Adakah penggunaan straw plastik masih digunakan di Melaka.

Abdul Ghafaar: Plastik itu masih digunakan tetapi kita tidak galakkan. Hanya kita galakkan plastik yang boleh diserap oleh tanah dan kalau boleh guna kertas. Ini kita kena tanamkan dalam masyarakat kerana mereka tidak nampak.

MHI: Selain Sungai Melaka, mungkin kerajaan negeri bercadang untuk mengindahkan lagi sungai-sungai di sekitar Melaka yang boleh menarik lebih ramai pelancong.

Abdul Ghafaar: Sungai Melaka memang tempat tumpuan pelancong. Sebab itu kerajaan berbelanja berjuta-juta ringgit untuk mengindahkan sungai.

Sekarang sampai ke peringkat ketiga, tetapi disebabkan kegagalan kontraktor, sebahagiannya tidak dapat disiapkan. Sepatutnya sudah siap dan orang ramai boleh menikmati keindahannya sampai ke hulu sungai.

Kita merancang akan sambung sampai ke hulu Alor Gajah di Pengkalan dan akan menjadi destinasi pelancongan untuk tarik pelancong.

Sungai-sungai lain kita tidak tinggalkan, kita akan gunakan dalam pengairan untuk bekalan air dan sawah dan berharap Sungai Melaka yang ada akan terus bersih dan kita harap Sungai Melaka tidak kotor kerana terlalu banyak bot selepas PKP.

MHI: Apa isu utama perumahan di Melaka

Abdul Ghafaar: Tiada isu besar di Melaka. Isunya hanya rumah kos rendah kerana pemaju kurang berminat.

Ini kerana `margin’ keuntungan sangat sedikit, jadi, mereka memilih rumah mampu milik atau banglo kerana lebih keuntungan.

Kadang-kadang ada perdebatan antara kerajaan negeri dengan pemaju mengenai projek perumahan.

Kita hendak rumah kos rendah diberi keutamaan terutama dalam bandar kerana golongan B40 ramai di bandar. Mereka perlukan rumah kos rendah.

MHI: Mungkin ada syarat tertentu dikenakan kepada pemaju untuk sesuatu projek perumahan.

Abdul Ghafaar: Mesti kena buat berapa peratus sama ada 30 atau 50 peratus. Itu memang disyaratkan oleh kerajaan. Sekurang-kurangnya 30 peratus untuk B40 dapatkan rumah kos rendah.

MHI: Adakah anak-anak syarikat masih digalakkan menyediakan rumah-rumah kos rendah.

Abdul Ghafaar: Kita masih galakkan lagi, kita memerlukan banyak rumah kos rendah sebab ramai lagi  B40 memerlukan rumah.

Mereka tidak mampu hendak beli rumah RM200,000 ke atas. Melaka satu-satunya negeri harga rumahnya terkawal, maknanya rumah mampu milik bawah RM180,000 sedangkan negeri lain lebih mahal.

Pemaju kena patuh syarat yang ditetapkan kalau tidak mereka tidak dibenarkan.

MHI: Apa insentif kerajaan negeri untuk galakkan pemaju membuat rumah kos rendah.

Abdul Ghafaar: Setakat hari ini tiada apa-apa inseniaf kerana di Melaka. Pemaju tahu tiada rumah  yang tak terjual kerana ada pasaran, tidak macam sesetengah negeri banyak projek terbengkalai.

MHI: Apakah status ladang ternakan babi yang dikatakan menjejaskan tahap kebersihan di sekitar Sungai Tuang.

Abdul Ghafar: Saya tiada maklumat berapa jumlah babi yang ada di Paya Mengkuang. Kita benarkan ikut kuota yang diberikan dan tidak dibenarkkan untuk dibesarkan kawasannya kerana dekat dengan pantai pelancongan.

Apabila najis babi tu disalurkan keluar ke laut, kawasan sekitar akan berbau dan jejaskan pantai serta pelancongan. Saya harap pihak veterinar pantau keadaan di situ

MHI: Harapan Datuk Seri tentang pentadbiran kerajaan baharu, tekad dan hasrat Datuk Seri.

Abdul Ghafaar: Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Haji Sulaiman Md Ali baru ambil alih lebih 100 hari. Saya harap bertambah maju lagi kerana beliau orang muda, ada tenaga, daya fikiran yang baik.

Kita menyokong penuh Ketua Menteri supaya dapat terus mengemudi Melaka dengan lebih maju, itu harapan kita. Maknanya Melaka terus menjadi negeri maju.

 

 

Views:

1779
Kongsi :
Previous post Remaja lemas ketika mandi di Air Terjun Sungai Sendat
Next post Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 1,007 orang pagi Ini
Ubah saiz-+=