CMI Infra sedia bantu selesai aduan rakyat
SERI NEGERI 11 Julai – CMI Infra bersedia menerima aduan masyarakat setempat bagi membantu menangani masalah berkaitan penyelenggaraan dan pembersihan sesuatu kawasan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, setakat ini kerja-kerja dilaksanakan CMI Infra adalah mengikut garis panduan tatacara pengurusan penyelenggaraan negeri.
“CMI Infra terikat dengan garis panduan yang ada dan tugasnya adalah melaksanakan penyelenggaraan dari segi permukaan jalan, bahu jalan, kerja pemotongan rumput, jambatan, pembetung, penyelenggaraan garisan jalan dan longkang.
“Namun demikian CMI Infra akan membantu dari semasa ke semasa mengikut kepada aduan masyarakat setempat, bagaimanapun jangan keliru kerana kerja-kerja menyapu (pembersihan sampah) tidak termasuk di bawah agensi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) mengenai pelaksanaan kerja rutin CMI Infra pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hameed berkata bagaimanapun CMI Infra perlu membuat kajian semula bagi jarak atau waktu kerja harian yang dilaksanakan sebelum ini.
“CMI Infra terikat dengan tatacara kerja rutin harian, mungkin perlu dikaji selepas ini jarak waktu membuat kerja yang terlalu jauh dan panjang.
“Saya akui kerjanya tidak dibuat secara berkala, mingguan atau bulanan, mungkin jarak kerja itu yang terlalu panjang, jadi kita akan melihat dari segi kerja ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.