CLQ pertama Melaka tempatkan lebih 3,000 pekerja asing
AYER KEROH 10 Jun – Bangunan Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) pertama di Melaka siap dibina dan bakal menempatkan seramai 3,264 pekerja asing khususnya sekitar Melaka Tengah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata bangunan dikenali sebagai I-Asrama ini dibina di Ayer Keroh Eco Park dan bertaraf bangunan hijau.
“Hari ini kita menyaksikan perasmian CLQ pertama di Melaka berkonsepkan Sustainable Development Goals (SDGs) di Negeri Melaka.
“Saya lihat kemudahan-kemudahan yang disediakan adalah bertaraf yang boleh dibanggakan kerana menyediakan suasana penginapan berkualiti.
“Asrama ini dibina secara terancang bagi memastikan bahawa pekerja-pekerja yang menginap di sini mendapat keselesaan dalam mereka mencari rezeki di Negeri Melaka.
“Bangunan ini ada 272 unit asrama yang boleh menempatkan lebih 3,000 pekerja, sekali gus membantu industri sekitar ini meningkatkan lagi kualiti produktiviti mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian I-Asrama @ Ayer Keroh Eco Park Bangunan Asrama Berpusat (CLQ) di Zon Industri Ayer Keroh Baru di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee; Pengarah PDG Property Group, Datuk Seri Gwee Yew Kiat dan lain-lain barisan kenamaan.
Katanya pembinaan bangunan itu, membantu Kerajaan Negeri mencapai sasaran pembinaan sebanyak 40 CLQ dalam masa terdekat.
“Ini merupakan solusi jangka panjang untuk memastikan kawalan dan penginapan yang kondusif di samping mewujudkan persekitaran tempat tinggal selamat, bersih serta sistematik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.