Chong Wei mahu isu Zii Jia-BAM diselesai cara baik
Pemenang pingat perak pada tiga temasya Sukan Olimpik itu berkata berita mengenai keputusan Zii Jia untuk meninggalkan BAM telah menjadi antara topik berprofil tinggi yang menjadi tumpuan peminat seluruh dunia.
Beliau berkata isu yang berpanjangan tidak memberi kebaikan, sebaliknya boleh mencetuskan tanggapan negatif peminat luar terhadap nama baik badminton tanah air, yang merupakan antara sukan utama di Malaysia.
“Tidak hanya di Malaysia, satu dunia pun tahu berita ini. Saya juga rasa perkara ini tidak begitu bagus untuk skuad badminton kebangsaan. Saya harap boleh cepat diselesaikan dan fokus kepada badminton. Jangan sampai jadi besar sangat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Semalam Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Zii Jia membuat keputusan meninggalkan badan induk itu untuk bergerak sebagai pemain bebas dan telah menghantar surat peletakan jawatan pada 11 Jan lepas.
Mohamad Norza berkata BAM telah mengadakan beberapa perbincangan dengan juara All England 2021 itu bagi memujuk Zii Jia untuk kekal, namun pemain berusia 23 tahun itu tetap dengan pendiriannya.
Mengulas lanjut Mohamad Norza berkata antara faktor Zii Jia ingin keluar adalah beliau bukan Chong Wei, tidak boleh tahan tekanan dan mahu mencapai apa yang diinginkan sendiri dengan ruang tanpa kekangan.
BAM dijangka mengumumkan keputusan berhubung kata putus Zii Jia itu esok.
Sementara itu Chong Wei berkata perjalanan sebagai pemain bebas tidak mudah dari aspek venue latihan, pemilihan jurulatih dan program pemulihan apabila kesemua itu perlu diuruskan secara sendiri tidak seperti di BAM, yang menyediakan segala elemen berkenaan.
Menurut Chong Wei, BAM antara organisasi yang mempunyai infrastruktur latihan serba lengkap dan terbaik.
“Tetapi dia (Zii Jia) mesti sudah ada perancangan sendiri dan paling penting sekali adalah keputusan, tak kisah sama ada dalam (BAM) ke, atau di luar, apa yang penting dia selesa untuk beraksi pada tahap terbaik, tetapi perkara ini bukan mudah,” katanya.
Zii Jia mengharungi musim 2021 dengan prestasi tidak konsisten bermula dengan persembahan hambar di tiga kejohanan di Thailand sebelum mencipta sensasi muncul juara All England pada Mac.
Beliau kemudian membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Tokyo yang menyaksikan pemain kelahiran Kedah itu tewas di pusingan 16 terbaik kepada juara Olimpik Rio 2016 dari China, Chen Long.
Selepas membantu skuad negara meraih gangsa Piala Sudirman, beliau kemudian berdepan masalah keletihan dan kecederaan dalam beberapa kejohanan disertai, termasuk terpaksa menarik diri pada kejohanan Indonesia Master di Bali dan Kejohanan Dunia BWF di Huelva, Sepanyol. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.