Sorting by

×

China tawar 1,000 biasiswa percuma untuk lepasan TVET

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

DURIAN TUNGGAL 16 Januari – Kerajaan China menawarkan tajaan biasiswa 100 peratus kepada 1,000 pelajar lepasan program Pendidikan Pembangunan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan untuk mengikuti kursus di universiti di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun tawaran itu perlu dibahagikan sama rata kepada semua Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang ada di negara ini.

“Ini adalah satu tawaran yang baik dan saya telah mencadangkan agar 1,000 tempat ini dibahagikan antara institusi TVET yang ada termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan MTUN iaitu universiti yang sediakan kursus bidang teknikal.

“Ia telah dimulakan dan ada sebahagian pelajar kita berada di sana (negara China), seramai 1,000 pelajar ini sebagai tambahan dan pelajar perlu mengikuti kursus tiga bulan hingga satu tahun di sana.

“Sebelum ini sudah ada 200 pelajar kita di sana, kali ini tambahan dan kita pilih lepasan TVET yang tiada diploma atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selagi mereka bersesuaian kita boleh hantar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian TVET Place & Train UTeM@KPT yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Canselor UTeM, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Seri Zambry Abdul Kadir; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin;
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Turut hadir Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan mengkoordinasikan kerjasama dengan MTUN untuk memperkembangkan lagi kebolehpasaran pelajar TVET.

“Sebab itu kita mahu koordinasikan dengan kerjasama MTUN ini, setakat ini di China kita ada kira-kira 100 universiti yang bekerjasama dan ia akan diperluaskan lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1115
Kongsi :
Previous post ‘Groom’ kapten bas Panorama sempena TMM2024
Next post Lepasan tingkatan tiga boleh ikuti program TVET
Ubah saiz-+=