China sumbang kerancakan jumlah ketibaan pelancong ke Melaka
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sejumlah 116,055 pelancong China, melawat Melaka sejak Januari hingga April tahun ini.
“Kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya satu juta pelancong China datang ke Melaka, selepas Polisi Visa Percuma dikuatkuasakan.
“Selain pelbagai tarikan pelancongan menarik yang terdapat di Melaka seperti Jonker Walk, Bukit Cina, Stadthuys, Tokong Sam Poh, Muzium Baba Nyonya dan Muzium Cheng Ho, Melaka juga menawarkan syurga makanan,” katanya menerusi satu posting di laman Facebook rasminya hari ini.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri bersetuju untuk mewujudkan sebuah Taman Persahabatan Melaka-China di Bukit Cina di sini, sekali gus mengembalikan nostalgia hubungan persahabatan Melaka dan China yang sudah terjalin, sejak 600 tahun lalu.
Terdahulu, beliau memenuhi undangan sesi temu bual bersama Bernama TV dan China Global Televisyen Network CGTN (CGTN), di pejabatnya di Seri Negeri hari ini.
Temu bual berkenaan dikendalikan Wartawan Penyiaran Bernama TV Nor Liyana Zulkifli dan Chen Tong daripada CGTN.
Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan China secara rasmi pada 31 Mei 1974, sekali gus muncul sebagai negara ASEAN pertama yang menghulurkan tangan tanda persahabatan dengan Beijing.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.