China bakal jalin kerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan vaksin COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR 1 Okt. – China dan Malaysia bakal menjalinkan kerjasama dalam pembangunan vaksin COVID-19 serta menyambung semula pengeluaran, kata dutanya ke Malaysia Bai Tian.

Beliau berkata Beijing dan Kuala Lumpur akan saling bergandingan antara satu sama lain untuk terus berjuang melawan pandemik dan memulihkan ekonomi.

“Di Malaysia, saya cuba melakukan yang terbaik untuk melaksanakan sepenuhnya pandangan dan konsep pemimpin kita (China) mengenai usaha global memerangi COVID-19, bersandarkan pada tema perpaduan dan kerjasama,” katanya yang bakal mengakhiri tugasnya sebagai duta.

Duta itu berkata Presiden Xi Jinping pada sesi ke-73 Perhimpunan Kesihatan Sedunia pada Mei mengumumkan China akan menjadikan vaksin COVID-19 sebagai produk awam global, apabila tersedia kelak.

Tambah beliau, Menteri Luar Wang Yi juga pada persidangan video menteri-menteri luar China-ASEAN baru-baru ini berkata China akan mengutamakan negara Asia Tenggara dalam pengedaran vaksin COVID-19.

Bai Tian berkata demikian pada majlis resepsi secara dalam talian sempena Ulang Tahun ke-71 Penubuhan Republik Rakyat China, yang disiarkan di laman Facebook kedutaan.

Majlis resepsi dalam talian itu pertama kali diadakan kerana COVID-19, juga bersempena majlis perpisahan untuk Bai Tian yang akan menamatkan tugasnya di sini selepas berkhidmat sejak 28 November 2017.

Berkongsi pengalamannya di sini, duta besar itu beliau akan mengingati ketika rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat menyumbang dana serta bekalan kepada China ketika COVID-19 melanda Wuhan pada Januari dan Februari.

“Dalam 10 bulan terakhir, tatkala China teruk dilanda pandemik dan ada ketika COVID-19 mencapai puncaknya di Malaysia. Namun, China dan Malaysia saling berkongsi susah dan senang,” katanya.

“Sekarang pelitup muka dan sarung tangan klinikal menjadi lambang persahabatan baharu antara kita,” tambahnya.

Dalam ucapan selamat tinggalnya, Bai Tian tidak akan melupakan peribahasa Melayu yang juga sering digunakannya – ‘Bukit sama didaki, lurah sama dituruni’ – yang dianggapnya menjadi saksi dalam ikatan persahabatan sejati antara dua negara yang saling membantu antara satu sama lain pada saat diperlukan.

– BERNAMA

Views:

255
Kongsi :
Previous post ADUN Ayer Limau positif COVID-19
Next post COVID-19: Aktiviti Kerajaan Melaka ditangguhkan serta-merta
Ubah saiz-+=