Sorting by

×

Chin Ann bimbang kaum Cina tak minat bola sepak

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

 

PANTAI KUNDOR 16 Okt. – Legenda bola sepak negara, Datuk Wira Soh Chin Ann menyuarakan kebimbangan terhadap kurangnya penglibatan anak muda berbangsa Cina dalam sukan bola sepak.

Beliau yang juga pemegang kap (penampilan) antarabangsa terbanyak berkata, ia dapat dilihat apabila sukan nombor satu dunia itu lebih dimonopoli satu-satu kaum sahaja pada ketika ini.

Katanya, situasi itu berbeza tatkala eranya dahulu yang menyaksikan pelbagai kaum bersama-sama meminati bola sepak dan bersama menyarung jersi kebangsaan.

“Ramai orang tanya, kenapa kurang kaum Cina dalam bola sepak. Mungkin ada beberapa faktor antaranya ibu bapa mereka lebih mahukan anak-anak fokus kepada pelajaran.

“Jadi bila sudah berumur belasan tahun, mereka lebih pentingkan pelajaran dan mereka tak sama seperti budak Melayu yang sentiasa suka main bola sepak.

“Pada saya, situasi yang berlaku ini nyata tidak sihat kerana dahulu kita boleh lihat semua kaum baik Melayu, Cina, India, Banggali dan lain-lain semua mewakili negara. Ia jauh berbeza dengan keadaan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas menyertai perlawanan persahabatan di antara Malacca Club dan KB Legenda di Kompleks Sukan Malacca Club, Rotunda, Tanjung Kling, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Chin Ann berkata, bagi menggalakkan semula penglibatan kaum Cina dalam bola sepak, beliau bersama rakan-rakan telah menubuhkan Kelab Legenda untuk melatih kaum itu dalam sukan bola sepak di peringkat akar umbi.

Katanya, kelab yang berpusat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi St David itu aktif mengadakan latihan pada setiap minggu.

“Sebenarnya, bukan sahaja kaum Cina, tetapi kita juga melatih anak-anak Melayu ataupun India berumur 8 hingga 17 tahun yang benar-benar minat dalam sukan bola sepak.

“Kita buat semua ini kerana kita tahu betapa pentingnya pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dan bermula dari bangku sekolah lagi.

“Kita berharap usaha yang dilakukan ini dapat meningkatkan mutu bola sepak kita di masa akan datang,” katanya.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2533
Kongsi :
Previous post Aliran trafik masuk Melaka lancar
Next post Ahmad Maslan santuni rakyat Pengkalan Batu
Ubah saiz-+=