Chargeman: Berkelulusan SPM, namun bergaji lumayan

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 28 Julai – Memiliki ‘tangan emas’ atau handal dalam bidang teknikal membolehkan belia di negara ini menikmati gaji bulanan yang lumayan meskipun sekadar berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Itulah untungnya mereka yang bijak mengambil peluang dengan memperkasakan diri dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk mengikuti kursus Penjaga Jentera Elektrik (Chargeman).

Tanggapan segelintir pihak kerjaya itu tidak menjamin masa depan adalah silap, kini kebolehpasaran tenaga mahir dalam bidang itu semakin meningkat.

Hal itu diakui Koordinator Program Latihan Chargeman di Tenaga Nasional Berhad (TNB) Integrated Learning Solution Sdn. Bhd. (TNB ILSAS), Mohd Aidy Awaludin, 46.

Menurutnya, bagi Chargeman memiliki sijil perakuan Suruhanjaya Tenaga Malaysia, mereka mempunyai masa depan cerah untuk meneroka pelbagai bidang sehingga berumur 65 tahun.

Katanya, antara bidang yang boleh diceburi ialah seperti minyak dan gas, elektrik, perindustrian dan lain-lain lagi.

“Oleh sebab itu, kita amat galakkan anak-anak muda untuk menceburi bidang elektrik kerana mempunyai permintaan tinggi. Mungkin sekarang mereka tidak nampak, tetapi hakikatnya ramai sudah berjaya dan kini menjadi orang penting dalam sesebuah organisasi.

“Selari perkembangan teknologi, tenaga mahir dalam bidang ini amat diperlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Tamat Program Penjaga Jentera Elektrik Kategori AO dan BO Untuk Warga Melaka Tajaan TNB di Auditorium Menara TNB Melaka, di sini, semalam.

Sementara itu, peserta program yang telah menamatkan latihan bagi kategori BO, Suhaimi Syiful Irwan, 43, mengakui banyak ilmu ditimbanya sepanjang setahun mengikuti kursus berkenaan.

Katanya, sijil dimiliki membantunya mendapatkan pekerjaan lebih baik berbanding sebelum ini terutamanya membabitkan kerja-kerja berkaitan voltan tinggi.

“Sebelum ini, saya adalah seorang kontraktor dan lebih terarah kepada kerja-kerja domestik. Namun, dengan sijil ini, saya boleh meneroka peluang dalam alam industri, sekali gus menjana pendapatan lebih baik.

“Terima kasih kepada TNB dan Kerajaan Negeri Melaka kerana memberi kami peluang mengikuti kursus ini secara percuma. Insya-Allah, kami akan bersama-sama membantu menyumbang kepada pembangunan negeri ini,” katanya yang berasal dari Sungai Petai, Alor Gajah.

Nada sama turut dikongsikan seorang lagi peserta, Mohd Fuad Mahmud, 38, merupakan anak jati Tanjung Kling.

Katanya, dia bersyukur dan berbangga dapat mengikut jejak langkah bapanya yang juga seorang Chargeman apabila berjaya menamatkan program serta menerima sijil BO.

“Bagi orang lain, kerjaya ini mungkin biasa, tetapi sepanjang program barulah saya sedar bahawa bukan mudah mengendalikan jentera elektrik terutama membabitkan voltan tinggi.

“Kalau berlaku kesilapan, ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri, bahkan orang lain dan insya-Allah dengan ilmu yang dipelajari kami akan melakukan sehabis baik dalam mempraktikkan amalan kerja yang selamat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3269
Kongsi :
Previous post Kebebasan media harus diangkat, diperkasa – PM Anwar
Next post Wei Nee mahu jadi Ahli Bioteknologi
Ubah saiz-+=