Cerun runtuh: Pemaju projek diberi tempoh 7 hari – KM
AYER KEROH 9 Mei – Pemaju projek pembinaan rumah kedai berhampiran Taman Muzaffar Syah, di sini, diberi tempoh tujuh hari bagi mengawal pergerakan tanah yang menyebabkan berlaku runtuhan cerun di kawasan berkenaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tindakan segera perlu dilakukan bagi mengelakkan kerosakan lebih besar dan jika berlarutan projek berkenaan berkemungkinan ditangguhkan hingga satu penyelesaian dicapai.
Selain mengawal pergerakan tanah, Ab Rauf turut mengarahkan pemaju projek untuk mengenal pasti kediaman yang terjejas akibat perkara itu.
“Pemaju diingatkan supaya berhubung dengan semua penduduk terjejas termasuk keadaan rumah retak yang memerlukan pemulihan atau ganti rugi sekiranya terkesan akibat projek ini.
“Jaminan diambil dalam tempoh tujuh hari iaitu memastikan apa juga pergerakan tanah ditambah baik. Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah memberikan pandangan tentang kaedah daripada sudut teknikal dan pemaju diminta mematuhi segala nasihat diberikan.
“Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) pula akan pastikan segala aspek keselamatan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas melawat kawasan cerun di taman berkenaan, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron dan Pengarah JKR Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman.
Beliau berkata, langkah menguatkan cerun sebelum ini sudah dijalankan mengikut spesifikasi dibentangkan kepada pihak berkuasa.
“Maklumlah struktur alam ini berubah jadi kita akan pantau sebagai jaminan kepada rakyat. Sudah pasti sebelum sampai ke penamat fasa, untuk menambah baik dan menguatkan cerun ada sedikit pergerakan.
“Tetapi daripada sudut teknikalnya saya terima proses untuk mengukuhkan cerun sebelum memulakan kerja tetapi ianya perlu diteliti daripada sudut keselamatan,” Katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.