Sorting by

×

Ceroboh empangan: Notis akhir pengosongan sebelum 1 April – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SERI NEGERI 11 Mac – Penceroboh tanah rizab kerajaan di dua empangan di negeri ini akan diberikan notis terakhir untuk mengosongkan tanah berkenaan sebelum 1 April ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, selepas tarikh itu, kerajaan akan meneruskan proses tindakan undang-undang kepada baki 25 peratus lagi penceroboh yang masih berdegil di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah dan Empangan Jus, Jasin.

“Kita amat memandang serius pencerobohan ini dan kerajaan negeri akan memberikan notis terakhir pengosongan kepada mereka sebelum 1 April ini.

“Adakah kita akan beri mereka pampasan? Kalau tanah kita diceroboh, adakah kita akan beri pampasan? Jadi persoalan itu tidak sepatutnya timbul,” katanya pada sidang media khas di di sini hari ini susulan keputusan mesyuarat EXCO semalam.

Tambahnya, empangan di Melaka telah diisytiharkan sebagai Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan di bawah Seksyen 4 Akta Kawasan Larangan Dan Tempat
Larangan 1959 melalui Perintah Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan (No.7) 2011 bagi Empangan Durian Tunggal dan Perintah Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan (No.5) 2010 bagi Empangan Jus.

“Sekiranya penceroboh masih berdegil, kerajaan negeri akan mengeluarkan penceroboh – penceroboh ini dengan menguatkuasakan Notis 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.

“Notis itu antaranya menyatakan mna-mana orang yang tanpa kebenaran yang sah menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau perlombongan jika disabitkan kesalahan dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara untuk maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Isnin lalu, Sulaiman mendedahkan kerajaan negeri mengesan kegiatan tanaman haram termasuk durian Musang King, buah naga, sawit, pisang dan kelapa sawit di Empangan Durian Tunggal, di sini.

Pencerobohan itu jelas beliau, melibatkan tanah rizab empangan seluas 188.73 hektar yang turut dijadikan tapak rumah penginapan, pekerja asing, pam air dan chalet bagi kegunaan pertanian haram itu.

Jelasnya, kerajaan negeri Melaka telah mula mengeluarkan penceroboh berkenaan mulai 2014 dan 75 peratus mereka telah mengosongkan kawasan rizab setelah diberikan notis pengosongan tapak oleh Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah, namun ada lagi yang masih berdegil.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

659
Kongsi :
Previous post Lelaki maut langgar lembu lintas jalan
Next post 27 maut, bas terjunam ke gaung di Sumedang, Jawa Barat
Ubah saiz-+=