
CERIA TERIMA SUMBANGAN AIDILFITRI
LENDU 15 Mac – Kanak-kanak mengalami kesukaran berjalan akibat masalah saraf Sheikh Muhammad Alif Alashiri, 12, antara penerima sumbangan bantuan Aidilfitri yang mendapat perhatian daripada Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri sempat menyantuni Sheikh Muhammad yang ditemani ibu saudaranya Siti Nuraishah Sheikh Abu Bakar Alashiri pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Perayaan Aidilfitri Parlimen Masjid Tanah Tahun 2025 di Kompleks Belia dan Sukan Masjid Tanah, di sini, semalam.
Siti Nuraishah berkata, Sheikh Muhammad yang juga anak sulung daripada empat adik-beradik dikesan mengalami masalah saraf selain tulang belakang bengkok ketika berusia empat tahun hingga menyebabkan kanak-kanak itu sukar untuk berjalan.
“Alhamdulillah sumbangan ini sedikit sebanyak menceriakan anak buah saya, meskipun cara dia berbual tidak rancak seperti orang ramai tetapi Sheikh Muhammad adalah seorang yang peramah.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri, duit raya ini dapat meringankan beban bapa Sheikh Muhammad bertugas sebagai juruteknik di sebuah syarikat telekomunikasi.
“Ibunya pula terpaksa berhenti kerja baru-baru ini kerana perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Sheikh Muhammad yang baru sahaja menjalani pembedahan,” katanya.
Sementara itu seorang lagi penerima, Aminah Ngah, 78, dari Durian Daun, meluahkan rasa terharu kerana masih ada yang prihatin terhadap warga emas sepertinya.
“Selain membeli barangan keperluan untuk Aidilfitri, sebagai nenek duit raya ini juga boleh dibelanjakan untuk menceriakan 20 cucu dan lima cicit saya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.