Sorting by

×

KAKI PALSU BAWA SINAR BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 19 Februari – Keceriaan jelas terpancar pada raut wajah lima penerima sumbangan kaki palsu baharu yang lebih selesa dan ringan serta amat sesuai untuk kegunaan mereka seharian.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, kaki palsu cetakan 3D itu adalah hasil inovasi yang didorong perasaan prihatin pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama rakan strateginya untuk membantu orang kurang upaya (OKU).

Katanya, inisiatif itu adalah atas tajaan sepenuhnya daripada Kementerian Kewangan menerusi geran Pendayaan Komuniti@UniMADANI yang selari dengan aspirasi kerajaan dalam memperkasa teknologi demi kesejahteraan rakyat.

“Menerusi inisiatif ini seramai tujuh penerima telah dipilih berdasarkan keperluan khususnya mereka yang mengalami ‘below knee amputation’ dan berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Malah menerusi projek yang dilaksanakan ini, bukan sekadar menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan sebaliknya menunjukkan keprihatinan serta solidariti sebagai masyarakat. Dengan adanya inisiatif sebegini kita dapat memberi sinar harapan, sekali gus meringan beban ditanggung mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kaki Palsu Cetakan 3D UTeM, di Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof Dr. Zulkifilie Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTeM Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif dan Pengarah Pusat Pengurusan Kolaborasi Rice UTeM-Melaka, Prof Ts. Dr. Effendi Mohamad.

Menurut Fairul Nizam, inisiatif dilaksanakan UTeM bersama rakan strategiknya akan terus berkembang sekiranya lebih banyak jalinan kerjasama dijalankan termasuklah bersama industri dan kerajaan.

“Kerajaan Negeri kami sentiasa menyokong usaha-usaha sebegini demi memastikan pembangunan yang inklusif dan kesejahteraan untuk semua lapisan masyarakat.

“Semoga inisiatif sebegini menjadi pemangkin kepada lebih banyak projek yang memberi impak positif bukan sahaja kepada UTeM malah masyarakat,” katanya.

Jelasnya, dengan bantuan ini diharap penerima kaki palsu dapat meningkatkan kualiti hidup selain membuka peluang untuk mereka lebih berdikari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

77
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA JADI TUAN RUMAH PERSIDANGAN WARISAN KEBANGSAAN
Next post SUSU PERCUMA UNTUK ANAK-ANAK HANG TUAH JAYA