Ceramah politik berkaitan PRN Melaka tidak dibenarkan – KP

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 2 Nov – Sebarang bentuk penganjuran ceramah politik berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan selaras dengan ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, masih terdapat individu atau penganjur secara terangan mengadakan ceramah politik dalam kawasan kediaman penduduk dengan yang terbaharu berlaku Sabtu lalu.

Menurutnya, penganjur program iaitu PKR bertindak mengubah suai lori untuk dijadikan pentas di tepi jalan kawasan kediaman penduduk selain mengantung kain rentang berkaitan kempen pilihan raya.

“Ia jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara yang melarang perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihanraya diadakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Melaka (IPK) Bukit Beruang.

Menurut beliau, selain tidak mengendahkan nasihat polis untuk tidak meneruskan program ceramah itu yang dikhuatiri tidak ada penjarakan sosial, penganjur juga tidak menyediakan kemudahan SOP yang mewajibkan scan mySejahtera dan bahan sanitasi.

“Sebab itu, polis mengeluarkan kompaun RM10,000 terhadap penganjur kerana melanggar peraturan Akta 342,” ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya masih menunggu SOP terbaharu daripada pihak Suruhanjaya Piliharaya (SPR) berhubung penganjuran kempen pilihan raya nanti.

“Kalau ikut Akta Pilihanraya yang kebiasaanya semua ceramah perlu mempunyai permit tetapi melihat keadaan sekarang, kita masih tunggu SOP terbaharu daripada SPR bagi tindakan seterusnya.

“Tetapi kebiasaannya semua ceramah perlu permit sepanjang tempoh berkempen bermula hari penamaan calon sehinggalah pukul 12 tengah malam 19 November ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

715
Kongsi :
Previous post Loji Rawatan Air perlu diselenggara segera
Next post Pakai lambang PN, bukan bermaksud PAS, BN bermusuh
Ubah saiz-+=