Cemas ular berlingkar atas peti ais

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TABOH NANING 27 Feb – Seekor ular tedung selar sepanjang dua meter masuk ke sebuah rumah sebelum melingkar di atas peti sejuk di Kampung Simpang Ampat di sini, kelmarin.

Pengajar madrasah, Mutalib Dipong, 30, kehadiran tetamu tidak diundang itu disedari sewaktu salah seorang anggota keluarganya ketika memasuki dapur pada pukul 12.30 tengah hari.

Menurutnya, sebelum itu reptilia tersebut mengeluarkan bunyi desiran yang kuat serta mengangkat kepalanya.

“Bunyi desiran itu datang dari arah bekas penutup makanan yang terletak atas peti sejuk dan alangkah terkejutnya kami apabila mendapati bunyi itu adalah ular tedung.

“Kami kemudiannya cuba menghalau ular tersebut keluar tetapi ia menjalar memanjat atas bumbung rumah dan tiba-tiba hilang.

“Namun, apabila kami masuk semula ke dapur, kami dapati ular tersebut berlingkar semula atas peti sejuk,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

ANGGOTA APM Alor Gajah menangkap ular tedung dan memasukkannya dalam guni. Foto APM Alor Gajah

Menurutnya, dalam keadaan cemas itu, dia sempat menghubungi talian kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah bagi mendapatkan bantuan.

Ujarnya, kemungkinan ular tersebut datang dari hutan berhampiran yang terletak di belakang rumah yang didiami sejak lebih lima tahun.

“Mujurlah ular tersebut tidak agresif dan pasukan keselamatan juga tidak menghadapi kesulitan semasa menangkap ular berkenaan,” katanya.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 2.30 petang.

Menurutnya, seramai empat anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa selama dua minit bagi menangkap ular tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1119
Kongsi :
Previous post Sidang DUN Melaka diteruskan esok
Next post Drag Race, litar geng anak muda berlumba
Ubah saiz-+=