Cemas telefon bimbit suami tak berangkat
TANJUNG BIDARA 10 Jun – “Saya pelik kerana meskipun sudah jam 5.30 pagi arwah suami belum hubungi saya. Kerana mahu sedapkan hati saya menyangka dia sedang melakukan persiapan untuk menunaikan solat Subuh.
“Namun, pada 6.15 pagi kakak hubungi saya memaklumkan bas membawa rombongan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram terbabit nahas jalan raya. Ketika itu kakak menyangka suami tidak ada dalam bas berkenaan,” kata Shamsiah Khamis, 56, isteri kepada Hamzah Ahmad, 60 yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah, Rompin.
Shamsiah yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) akibat kesukaran untuk berjalan berikutan masalah saraf sejak 2002 berkata, ketika itu mereka sekeluarga mula resah kerana langsung tidak mendapat bayangan mengenai nasib arwah suaminya.
Lebih mencemaskan apabila telefon bimbit milik arwah suaminya tidak berangkat meskipun berulang kali dihubungi anak sulung mereka Zulaikha Hamzah, 25.
Bekas guru Taman Bimbingan Kanak Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ini berkata, berikutan itu mereka sekeluarga mengikuti perkembangan nahas jalan raya berkenaan menerusi laporan berita dan maklumat tular di media sosial.
“Kerana terlalu risau saya bersama dua anak dan kakak ambil keputusan untuk ke hospital, kira-kira 9 pagi pihak hospital hubungi anak bertanyakan mengenai waris suami dan minta datang ke zon merah tanpa memaklumkan keadaan arwah yang sebenar.
“Ketika dalam perjalanan kakak menaiki kereta di hadapan tiba-tiba berhenti, dia maklumkan mendapat maklumat bahawah suami sudah meninggal dunia. Dia minta saya bersama anak kedua pulang ke Melaka. Mereka akan uruskan jenazah suami,” katanya ketika ditemui di Masjid Al Ehsan, Londang, di sini, semalam.
Menurutnya, dua minggu sebelum kejadian arwah suaminya menjadi seorang yang pendiam, malah tidak memberitahu ahli keluarga lain bahawa dia akan mengikuti rombongan ke Terengganu, hingga ramai menyangka Allahyarham tidak berada dalam bas berkenaan.
“Arwah seorang periang, tapi sejak kebelakangan ini dia kurang bercakap, sebelum pergi dia ada berjumpa bapa saudara saya, tetapi suami langsung tidak beritahu bahawa dia akan ke Terengganu.
“Kami agak terkesan dengan pemergian arwah, saya raya macam bermimpi. Kami macam tidak percaya dia sudah tiada,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.