Cef Filipina pilih cencalok
DUYONG 16 Jun – Hidangan cencalok bersama ulam-ulaman, menjadi pilihan Gene Gonzalez, 64, dari Filipina yang pertama kali menjamah makanan tradisional orang Melaka.
Gene yang juga peserta Bengkel Kelestarian Pembungkusan Makanan Warisan ASEAN dan Pengkomersilan Untuk Pasaran Dunia, turut dijamu pelbagai lagi hidangan tempatan pada Program Demonstrasi Makanan Warisan di Balai Adat Perkampungan Hang Tuah, di sini, semalam.
Pujian itu dianggap sebagai perkara yang membanggakan kerana Gene adalah seorang cef dan juga pensyarah di sebuah institusi kulinari di Manila.
“Filipina juga ada makanan seperti ini, namun saya lebih tertarik dengan cencalok. Ini adalah kunjungan pertama saya ke Melaka dan berasa amat bertuah kerana diberi peluang merasai pelbagai makanan yang enak belaka,” katanya.
Keunikan dan kelazatan cencalok turut disuarakan peserta dari Myanmar Khyn Hla Hla Aung, 76, juga seorang usahawan dalam bidang makanan.
“Asam pedas juga membuka selera saya, harap berpeluang untuk datang semula ke Melaka selepas ini kerana tidak puas menikmati makanan disediakan,” katanya .
Sementara itu Dr. Niphatchanok Najpinji, 54, merupakan pensyarah di Universiti Suan Dusit, Bangkok, Thailand pula tertarik dengan belacan.
“Selain hidangan yang menyelerakan menyuap nasi ke mulut menggunakan tangan mengembalikan nostalgia saya ketika zaman kanak-kanak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.