Cedera isteri, suami ke mahkamah
AYER KEROH, 11 Sept. – Padah mencederakan isterinya, seorang warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Tertuduh, Harun Or Rashed, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan cedera parah kepada mangsa yang berusia 49 tahun dengan cara memukul menggunakan tangan dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bachang Baru, kira- kira jam 6.30 petang pada 7 September 2020.
Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin tidak mencadangkan sebarang jaminan mengambil kira tertuduh adalah warga asing bagaimanapun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara jaminan RM50,000 dicadangkan bersama dua orang penjamin warganegara.
Tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Muzhaffar Abd Razak merayu agar jumlah jaminan yang rendah berikan dengan alasan tertuduh sudah tinggal di Malaysia sejak 15 tahun dan berkahwin dengan penduduk tempatan selain restorannya juga sudah ditutup ekoran pandemik.
Selepas mendengar hujah kedua- dua pihak, Norma kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15, 000 dengan dua orang penjamin selain daripada isterinya serta passport antarabangsa perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 13 Oktober depan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.