‘Cayalah’ orang Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 14 Jan. – Hampir 95 peratus rakyat negeri ini didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang dua hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0).

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, situasi itu jelas khususnya sekitar jam 7 hingga 10 malam apabila kenderaan yang melalui sekatan jalan raya (SJR) sangat sedikit.

Jelasnya, situasi itu menunjukkan masyarakat sudah mula faham terhadap aspek pematuhan SOP dan memberi kerjasama baik dalam membantu kerajaan membendung penularan COVID-19 yang semakin kritikal di negara ini.

“Walaupun kita dapat melihat masih banyak kenderaan di atas jalan raya berbanding PKP pertama dahulu, tetapi ia adalah disebabkan semua sektor ekonomi dibuka.

“Tetapi bila dibuat penilaian pada jam 7 hingga 10 malam, kita dapati pematuhan masyarakat semakin tinggi iaitu kira-kira 95 peratus. Bagi saya pematuhan pada waktu malam memang sangat memuaskan.

“Keberkesanan PKP 2.0 ini jelas apabila penduduk negeri ini semakin menunjukkan kematangan dan mula faham tentang SOP pada masa ini,” katanya ditemui di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Majid memaklumkan setakat 12 tengah hari tadi tiada kenderaan diarah berpatah balik selain tiada kompaun dikeluarkan pihaknya.

Begitupun, beliau menasihati orang ramai untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha membantu membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Views:

1106
Kongsi :
Previous post Tak puas hati hasil samun, tiga lelaki dipercayai bunuh rakan sejenayah
Next post Misi bantuan pasca banjir Melaka Sabtu ini terima sumbangan RM55,000
Ubah saiz-+=