Cari rezeki dengan satu tangan

Masa Membaca:4 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 13 Okt. – Kehilangan tangan kiri dalam satu kemalangan jalan raya bukanlah petanda segala-galanya sudah berakhir buat seorang anak muda berusia 23 tahun, Muhammad Hafiq Hizwan Norizan.

Ia selepas anak kelahiran Klebang itu bangkit membuktikan orang kelainan upaya (OKU) masih mampu berdiri di atas kaki sendiri dengan menjalankan khidmat penghantaran (runner).

Dia hanya menjalankan perkhidmatan tersebut secara suka-suka untuk membantu saudaranya yang menjual makanan di atas atas talian, namun sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, dia memulakan khidmat Runner One Hand secara serius sehingga sekarang.

“Niat asal saya adalah untuk membantu keluarga. Kerana saya anak sulung dan ada empat lagi adik yang masih belajar dan bersekolah. Lagi pun hanya ayah saya seorang sahaja yang bekerja dan ibu menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Sebagai seorang ‘runner’ biasalah rezeki sehari itu tak tentu. Kalau tiada pelanggan, memang tiada langsung. Tapi kalau ramai sampai jadi tak menang tangan.

“Bila waktu kemuncak, sehari saya boleh mendapat sehingga RM150. Itu pun dengan bekerja keras sikitlah dari pagi sampai ke malam,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerja kerasnya itu sering mendapat pujian di kalangan pelanggan yang bukan sahaja berpuas hati dengan perkhidmatan, bahkan turut memuji semangatnya menjalankan khidmat penghantaran menaiki motosikal dengan bergantung harap pada satu tangan sahaja.

DETIK HITAM KETIKA BERKONVOI

KHIDMAT Runner One Hand kini menjadi semakin popular di Melaka.

Bercerita lanjut mengenai insiden yang mengubah hidupnya kini, Muhammad Hafiq berkata, segalanya berlaku tanpa diduga kira-kira lima tahun yang lalu.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku ketika berumur 18 tahun iaitu ketika mengikuti konvoi motosikal sempena kemerdekaan bersama rakan-rakan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Jelasnya, kejadian berlaku ketika hendak pulang ke Melaka apabila motosikal yang dinaiki terbabas hingga menyebabkan dia terbabas ke pembahagi jalan dan terkena tangan dan perutnya.

“Kejadian itu limpa saya pecah dan doktor juga memberitahu tangan saya mungkin tidak dapat diselamatkan. Selama dua bulan saya menunggu perkembangan tangan kiri saya itu dan akhirnya, doktor memberi dua pilihan.

“Pilihan pertama ialah menjalankan proses menanam tangan dan yang kedua ialah untuk memotongnya. Selepas berfikir sedalam-dalamnya, saya sendiri membuat keputusan untuk tangan itu dipotong kerana saya melihat sudah tiada harapan.

“Lagi pun, lagi lama ia tidak diselesaikan selagi itulah saya perlu berada di hospital, sedangkan saya juga perlu memikirkan mengenai masa depan,” katanya.

SUKAR CARI PEKERJAAN

ANTARA pelanggan yang menggunakan khidmatnya.

Muhammad Hafiq berkata, walaupun ada segelintir orang akan berasa ‘down’ selepas menjadi mengalami kecacatan, namun dia mempunyai semangat yang berbeza.

Ujarnya, dia lebih cepat redha dengan kejadian tersebut kerana turut mempunyai seorang rakan baik yang lumpuh di tangan dan sering memberi galakan.

“Saya memerlukan kira-kira setahun untuk membiasakan keadaan itu. Mula-mula mungkinlah ada rasa segan dan tidak selesa tetapi lama kelamaan semuanya menjadi biasa,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui kejadian itu menyebabkannya sukar untuk mencari pekerjaan disebabkan kekurangan itu.

“Selepas kejadian, saya diberhentikan kerja oleh tempat kerja lama saya. Sebelum kemalangan saya bekerja sebagai pekerja penghantaran.

“Dan apabila selepas kemalangan dan semakin pulih, saya cuba juga mencari kerja. Pada waktu itu bila kena ‘reject’ itu sudah jadi biasa. Saya sedar, saya hanyalah lulusan SPM dan mungkin ada yang melihatkan kekurangan saya itu sebagai suatu kelemahan.

“Adalah satu, dua tempat tidak terima orang seperti saya, tapi saya tetap teruskan hidup seperti biasa melakukan kerja-kerja kampung dan kemudian terjun ke bidang khidmat penghantaran sehingga sekarang,” katanya.

GIGIH KUMPUL DUIT UNTUK TANGAN PALSU

Selain membantu keluarga, pemuda yang mesra dipanggil Apit itu turut gigih bekerja dari jam 9 pagi hingga 8 malam untuk mengumpul duit bagi membeli tangan palsu.

Menurutnya, kos untuk tangan palsu itu terlalu tinggi iaitu dengan berharga anggaran RM8,000.

“Nak beli sendiri memang seram dengan harganya. Tapi saya cubalah perlahan-lahan kumpul duit bermula sekarang. Tapi jika ada individu yang bermurah hati untuk menderma tangan palsu kepada saya amatlah saya alu-alukan.

“Perlu faham, kalau kehilangan kaki, mungkin saya boleh dapat sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi untuk tangan memang tiada bantuan diberikan.

“Dengan adanya tangan baharu mungkin saya dapat melakukan lebih banyak kerja dengan selesa dan dapat mencari lebih banyak wang untuk membantu keluarga,” katanya.

KEKURANGAN BUKANLAH KELEMAHAN

Di akhir perbualan, pemuda yang menaiki motosikal Honda EX5 itu sempat menitipkan pesanan buat semua anak muda di luar sana.

Dia berkata, sebagai pencorak masa depan negara, anak muda perlulah keluar dari takuk lama dan berusaha lebih gigih walau apa juga halangan dan cabaran dihadapi.

“Janganlah sesekali cepat berputus asa bila berlaku sesuatu yang tidak kita jangka. Jadikan segala pengalaman yang telah kita hadapi untuk membuatkan kita bangkit lebih kuat lagi.

“Seperti saya, walaupun kini dianggap serba kekurangan, saya cuba membuktikan bahawa saya juga boleh berjaya dan menjadi seperti insan normal dan tidak perlu mengharapkan bantuan orang lain.

“Ingat, semua orang boleh berjaya jika mempunyai matlamat dan hala tuju dalam hidup masing-masing,” katanya lagi.

Views:

1053
Kongsi :
Previous post Soal kebajikan negara lebih penting daripada main politik – PM
Next post Melaka wajibkan kuarantin 14 hari buat pengembara tiba dari Sabah
Ubah saiz-+=